Friday, November 20, 2009

Pelajar Melayu, India dapat 7A



MUHAMMAD Daniel Idrus (kanan) bersama S. Karthika Dewi merupakan dua murid dari sekolah aliran Cina yang memperoleh 7A dalam UPSR di Melaka.


MELAKA 19 Nov. - Dua murid Melayu dan India yang belajar di sekolah aliran Cina membuktikan walaupun belajar dalam persekitaran yang berbeza, mereka mampu meraih 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Muhammad Daniel Idrus dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bachang dan S. Karthika Dewi dari SJKC Notre Dame masing-masing memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan, Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Cina (Penulisan dan Pemahaman), Sains dan Peka (Penaksiran Kerja Amali Sains).

Ketika ditemui pada sidang akhbar Jabatan Pelajaran negeri di sini, Muhammad Daniel yang ditemani ibunya, Suhani Maarof, 35, berkata, kejayaannya itu adalah hasil sokongan ibu bapa dan komitmen para guru serta rakan sekelas yang tidak jemu memberi tunjuk ajar kepadanya.

Menurutnya, dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri sepanjang mengikuti pembelajaran di SJKC Bachang dan tidak berasa terpinggir walaupun hanya dia seorang sahaja murid Melayu di dalam kelas.

''Para guru dan murid lain di SJKC Bachang tidak pernah melayan saya seperti orang asing, layanan mereka sama sahaja. Buktinya saya berjaya meraih keputusan cemerlang UPSR hari ini dan ia kejayaan mereka juga," katanya.

Muhammad Daniel yang berminat menguasai bahasa asing itu berkata, dia berhasrat meneruskan pelajarannya di sekolah aliran Cina kerana berasakan banyak pengetahuan yang boleh diperolehinya.

Hasratnya itu dipersetujui oleh ibunya yang menyatakan kemungkinan akan menghantar Muhammad Daniel meneruskan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Tinggi Melaka, Bandar Hilir.

Selain persamaan belajar di sekolah aliran Cina dan meraih keputusan cemerlang UPSR, Muhammad Daniel berkongsi cita-cita yang sama dengan Karthika Dewi iaitu mereka ingin menjadi seorang saintis apabila dewasa kelak.

Menurut Karthika Dewi, peluang mengikuti pembelajaran di sekolah aliran Cina menjadikan dirinya mahir menguasai bahasa Mandarin selain bahasa Tamil dan bahasa Inggeris.

''Pada mulanya memang agak sukar kerana masih kurang memahami bahasa Mandarin, namun lama kelamaan berkat didikan para guru dan sokongan rakan-rakan sekelas, saya akhirnya berjaya menguasai bahasa ini," kata anak kedua dari empat beradik ini.

Katanya, kejayaan meraih 7A dalam UPSR hari ini hasil kerja kuat dan kesungguhan ibu bapanya dan para guru SJKC Notre Dame yang tidak berputus asa membimbingnya menjadi insan cemerlang.





Dari www.citrasutra.blogspot.com










Murid mangsa tragedi jambatan runtuh dapat 4A


K. Vasudevan dan isterinya, R. Kanakam bersama dua lagi anak perempuannya melihat keputusan peperiksaan UPSR mendiang anak mereka, V. DivyaShree yang mendapat 4A 3B di Changkat Golf, Gopeng, Perak, semalam.


IPOH 19 Nov. - Sukar untuk menggambarkan perasaan ibu bapa apabila melihat slip keputusan 4A 3B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sedangkan anak yang menduduki peperiksaan itu sudah tiada lagi.

Begitulah hakikat yang dihadapi keluarga mendiang V. Divyashree, 12, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng yang lemas dalam insiden jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, 26 Oktober lalu.

Bapanya, K. Vasudevan, 43, berkata, kejayaan tersebut kurang bermakna kerana anaknya sendiri tidak dapat meraikan hasil kerja keras untuk menjadi pelajar cemerlang dalam pelajaran.

"Sewaktu percubaan UPSR, Divyashree dapat 5A 2B. Walaupun pencapaian sebenar merosot tetapi saya tahu dia sangat gembira dengan keputusan ini.

"Sejak kecil dia memang budak yang pandai. Banyak subjek dia dapat markah 100 peratus malah bercita-cita untuk menjadi doktor pakar tulang apabila besar nanti," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Changkat Golf, Gopeng dekat sini hari ini.

Divyashree merupakan satu daripada tiga pelajar yang lemas dalam insiden jambatan gantung runtuh semasa mengikuti Kem 1Malaysia di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang.

Dua lagi yang menjadi mangsa arus deras Sungai Kampar itu ialah pelajar SJKT Mambang Di Awam iaitu M. Davadhasini, 11, dan N. Dina Deve,11.

Dalam keputusan UPSR lalu, Divyashree memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan), Matematik, Bahasa Tamil (Pemahaman) dan Bahasa Tamil (Penulisan) manakala B bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris dan Sains.

Sementara itu, ibu mendiang, R. Kanakam, 41, berkata, anak sulungnya itu memang menunjukkan minat mendalam dalam pelajaran sejak kecil malah suka memegang buku walaupun baru berumur setahun.

Katanya, selain minat membaca pelbagai suratkhabar, Divyashree juga sentiasa membawa buku nota dan pensil di dalam poket untuk mencatat pelbagai kegiatan seharian hingga diiktiraf sebagai pelajar contoh dan harapan SJKT Gopeng.

''Sebelum ini ibu saudaranya ada berjanji jika cemerlang dalam UPSR dia akan dibawa melancong ke India. Nampaknya hasrat itu tidak kesampaian.

''Sehari sebelum Kem 1Malaysia itu, Divyashree juga sudah membuat keputusan untuk belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama, Selangor. Tetapi itu pun tak boleh," katanya sambil menahan sebak.















Anak peniaga tomyam dapat 5A




PULAU PINANG 19 Nov. - Susah payah bapanya berniaga tomyam setiap malam hingga lewat pagi menjadi penguat semangat untuk Muhammad Haris Danial Mohd. Anwar (gambar) belajar bersungguh-sungguh.

Hari ini, dia berbangga kerana dapat menghadiahkan keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada bapa, Mohd. Anwar Aliar Kunjoo, 42, dan seluruh keluarga.

Muhammad Haris Danial, 12, dari Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang, di sini memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR yang diumumkan hari ini.

Ketua Pengawas SK Batu Lanchang yang juga menerima Anugerah Tokoh Pelajar sekolah itu merupakan antara 70 murid sekolah tersebut yang memperoleh keputusan 5A dalam UPSR 2009.










Bapa arak anak keliling kampung

ALOR SETAR 19 Nov. - Seorang bapa sanggup 'mengarak' anaknya dengan motosikal ke seluruh kampung kerana terlalu gembira dengan kejayaannya memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Bagi Abdul Latif Hamid, 46, petani dari Kampung Alor Gunung di sini, kejayaan anaknya, Ummu Aiman yang tidak disangka olehnya itu cukup membanggakannya.

Murid Sekolah Kebangsaan Gunung itu memperoleh gred A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

"Saya amat gembira dengan kejayaan anak saya ini dan semoga impiannya untuk menjadi seorang doktor akan tercapai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Abdul Latif, dia hanya mampu membawa anaknya mengelilingi kampung dengan motosikal sebagai cara meraikan kejayaannya kerana pendapatan sebagai petani tidak seberapa.

"Saya amat bangga dengan Ummu Aiman dan mahu dia terus berjaya dalam pelajarannya," katanya.

Ditanya rahsia kejayaannya, Ummu Aiman memberitahu dia sering mengamalkan doa-doa penerang hati yang diajar oleh guru-guru di sekolah bagi memudahkannya mengingati ilmu yang diajar.

"Saya belajar sendiri dan tidak pernah lupa untuk berdoa kepada Tuhan agar memberikan saya kepintaran dan kekuatan semangat untuk menempuh peperiksaan.

"Sepanjang menjawab soalan UPSR dahulu, saya sentiasa tenang dan yakin boleh berjaya,'' jelasnya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu turut memberitahu petua orang tua-tua yang diamalkannya untuk berjaya.

Katanya, dia tidak memakan makanan yang boleh membuatkan minda menjadi lemah seperti benda masam, minuman bergas serta organ dalaman haiwan.

"Ingatan yang kuat dan cerdas amat penting kepada seorang pelajar dan saya sanggup tidak makan makanan begitu demi menjaga ingatan," katanya.

Wednesday, November 18, 2009

White House: Israeli housing plans dismaying

White House: Israeli housing plans dismaying

Tuesday, November 17, 2009