Thursday, March 25, 2010

JEMPUTAN UNTUK SEMUA


DIJEMPUT SEMUA WARGA MADRASAH ISLAMIAH UNTUK HADIR KE MAJLIS MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM SARAWAK PADA AHAD INI, 28 MAC 2010, BERMULA PADA JAM PUKUL 8.30 PAGI.




Maklumat lanjut, sila layari http://www.perkepis.blogspot.com

Thursday, March 11, 2010

Usahawan jadi pensyarah IPTA


PUTRAJAYA 9 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mewujudkan satu mekanisme bagi membolehkan usahawan tempatan yang berjaya menjadi pensyarah sambilan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mekanisme itu penting bagi memastikan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) tenaga pengajar itu selari dengan kehendak universiti dan industri.

Beliau berkata, langkah berkenaan dilakukan kerana hampir semua pensyarah yang mengajar subjek keusahawanan di IPTA kini tidak mempunyai latar belakang sebagai seorang usahawan.

''Walaupun cadangan itu belum pernah dilaksanakan di IPTA, beberapa buah universiti di negara-negara Barat telah membuktikan bahawa lebih mudah usahawan mengajar pelajar keusahawanan.

''Ini kerana pengetahuan keusahawanan bukan hanya berasaskan teori tetapi juga pengalaman usahawan mengurus perniagaan mereka dan soal bimbingan selepas keluar daripada universiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan Persatuan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung ACCCIM, Datuk David Chua.

Sehubungan itu, Saifuddin memberitahu, kementerian kini dalam proses menyiapkan kertas kerja mengenai cadangan itu sebelum dilaksanakan.

''Jika sempat kita mungkin akan melaksanakannya pada sesi pengajian akademik bulan Julai ini di IPTA yang telah mempunyai kursus keusahawanan sebagai projek perintis.

''IPTA tersebut adalah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.

Ditanya mengenai kadar bayaran kepada tenaga pengajar itu, beliau berkata, adalah lebih baik jika pihak industri dapat mengutamakan tanggungjawab sosial korporat mereka.

''Lagipun, tempoh masa pengajaran mereka hanyalah beberapa jam dalam seminggu dan saya yakin ia tidak akan menjejaskan operasi perniagaan mereka," katanya.

Monday, March 8, 2010

Thai tingkat keselamatan sekat penyokong Thaksin


BANGKOK - Kerajaan Thailand menyatakan, negara itu merancang untuk melaksanakan langkah keselamatan yang tegas dengan membenarkan pihak tentera menangani perhimpunan besar-besaran penyokong bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra dijadualkan berlangsung pada minggu ini.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa tindakan keras akan diambil pada perhimpunan beramai-ramai para penyokong kumpulan baju merah yang setia terhadap Thaksin di Bangkok. Perhimpunan itu dirancang pada 14 Mac ini.

Ia berlangsung selepas dua minggu sebuah mahkamah Thailand mengeluarkan perintah untuk menyita harta Thaksin yang berjumlah AS$1.4 bilion (RM4.6 bilion).

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthep Thaugsuban berkata, beliau akan meminta Kabinet bertindak menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana akta tentera itu dibenarkan untuk membantu polis dan pihak berkuasa bagi melaksanakan perintah berkurung serta mengharamkan perhimpunan.