Monday, December 27, 2010

Hormati perasaan, hak, kehendak antara kaum - Rais

MELAKA 26 Dis. - Budaya menghormati perasaan, hak dan kehendak kaum lain perlu menjadi intipati kelangsungan untuk terus mewujudkan perpaduan dan kesepakatan bangsa Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, setiap perbezaan itu, tidak seharusnya terjerumus ke kancah permusuhan.

"Jika rakyat tidak mahu bersatu padu, mereka dikira tidak menghormati perpaduan negara dan sambutan hari ini melihat kebanjiran rakyat berbilang kaum membuktikan hubungan rapat di antara mereka.

"Oleh itu, rakyat perlu berganding bahu bersama kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara model dan contoh dalam konteks toleransi antara agama dan kaum," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Rumah Terbuka Krismas 2010 peringkat kebangsaan di Perkampungan Portugis, Ujung Pasir di sini malam ini.

Majlis Rumah Terbuka Krismas 2010 disambut meriah dengan dihadiri 10,000 masyarakat berbilang kaum termasuk pelancong asing.

Mengulas lanjut, Rais berkata, kerajaan sentiasa berusaha menerangi kehidupan rakyat dengan pelbagai program sentuhan gagasan 1Malaysia.

Kerajaan katanya, sentiasa bersama rakyat dan mendekati mereka setiap masa menerusi pendekatan mesra budaya.

"Kerajaan mengangkat enam perayaan yang paling utama iaitu Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Tadau Keamatan, Gawai, Deepavali dan Krismas berlandaskan dengan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sambutan majlis Rumah Terbuka Krismas boleh dijadikan landasan terbaik untuk menghindari sikap prejudis dan berprasangka buruk terhadap kaum lain.

Lebih penting, katanya, ia boleh dijadikan sebagai tempat mengenali dengan lebih rapat dan memahami adat serta budaya segenap lapisan masyarakat serta memperkukuhkan sikap toleransi.

Beliau menyeru rakyat menjadikan gagasan 1Malaysia sebagai payung yang mampu menaungi segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan.

Saturday, December 11, 2010

'Usah gadai masa depan negara'

PEKAN 11 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak menggadaikan masa depan negara dengan mempercayai segala janji yang ditaburkan oleh parti pembangkang kepada mereka.

Tegas Perdana Menteri, parti pembangkang terbukti gagal mentadbir negeri-negeri yang dikuasai mereka apabila tidak mampu menunaikan janji yang pernah ditaburkan pada pilihan raya lalu.

Malah kata beliau, pembangkang juga gagal mencapai kesepakatan dalam pakatan yang mereka cipta selama ini.

"Parti-parti pembangkang mempunyai ideologi yang bercanggah antara satu sama lain dalam pakatan yang mereka ciptakan.

"Oleh itu, jangan beri peluang kepada pembangkang untuk memerintah negara ini," tegasnya semasa berucap pada sambutan Deepavali 1Malaysia peringkat Parlimen Pekan di Dewan Majlis Daerah Pekan di sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberitahu, sejarah dunia membuktikan bahawa pemimpin yang hanya bijak menabur janji tetapi gagal menunaikannya, akan tersungkur.

"Ramai pemimpin dunia gagal menjadi pemimpin yang baik kerana kegagalan menunaikan janji-janji yang pernah ditaburkan kepada rakyatnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin parti pembangkang tidak akan mampu memerintah negara kerana kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan pakatan mereka.

Beliau menegaskan, hanya BN yang mampu memerintah negara menerusi rekod cemerlangnya sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.

"BN telah membuktikan mampu menunaikan segala janjinya kepada rakyat selepas mencapai kemerdekaan.

"Hanya BN yang boleh membawa Malaysia menjadi negara maju menerusi janji-janji yang realistik dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Najib juga berazam akan terus memberikan keadilan kepada semua lapisan rakyat rakyat tanpa mengira kaum supaya negara menjadi makmur dan harmoni.

Sunday, December 5, 2010

Jadikan Perkaya contoh bela anak yatim - Agong




Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan anugerah Pemegang Ijazah Alumni kepada seorang penerima pada Majlis Makan Malam Sambutan 30 Tahun Perkaya di Taman Tamadun Islam, Terengganu, semalam. - BERNAMA














KUALA TERENGGANU 5 Dis. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) dijadikan contoh terbaik dalam usaha membela nasib golongan berkenaan.

Sehubungan itu, Seri Paduka menyeru semua pihak agar terus menggembleng tenaga dan fikiran dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik kerana ia merupakan tanggungjawab semua.

Seri Paduka turut berpuas hati dengan komitmen kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh memberikan khidmat kepada masyarakat, khususnya anak-anak yatim di negeri ini.

"Dalam hal ini, beta bersyukur kerana usaha kebajikan yang dijalankan sentiasa mendapat sokongan masyarakat melalui penglibatan mereka dalam pelbagai badan sukarela di negeri ini seperti yang dilakukan menerusi Perkaya," titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan bertitah demikian sempena Majlis Sambutan 30 Tahun Perkaya dan Pelancaran Skim Waqaf Tanah Kolej Teknologi Bestari, Setiu (Peyatim) di Taman Tamadun Islam di sini malam tadi.

Seri Paduka juga percaya anak-anak yatim di bawah jagaan Perkaya bukan sahaja dibela dan dijaga keperluan mereka, malah turut dipastikan kecemerlangan di segi pembangunan akhlak dan akademik.

Dalam pada itu, Tuanku Mizan berbangga di atas kejayaan yang dicapai oleh Perkaya dalam pembangunan kebajikan anak-anak yatim sepanjang 30 tahun penubuhannya.

Sempena majlis tersebut, Seri Paduka turut mengurniakan anugerah kepada 20 pemegang ijazah Alumni 30 Perkaya yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing termasuk sebagai doktor, pengarah, jurutera, pensyarah dan usahawan.

Di majlis itu, baginda turut berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Jasamu Dikenang Perkaya kepada empat tokoh yang banyak menyumbang dan membantu kepada pembangunan Perkaya sepanjang 30 tahun penubuhannya.

Mereka ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang dianugerahkan Pingat Emas Kelas Pertama Perkaya, manakala Pingat Emas Kelas Kedua Perkaya diberikan kepada bekas Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Ibrahim Mohamad, Ahmad Mahmood dan Baharuddin Mohamed (ahli jawatankuasa Perkaya).