Tuesday, July 28, 2009

Sarkozy dibenar keluar hospital


PARIS 27 Julai - Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dibenarkan keluar dari hospital hari ini, setelah bermalam di sana untuk menjalani ujian kardiologi selepas beliau tiba-tiba berasa tidak sihat semasa berjoging semalam.

Sarkozy, 54, berasa pening kepala sewaktu berjoging di taman sekitar Chateau of Versailles semalam dan terpaksa berbaring sebelum dihantar dengan helikopter ke hospital tentera Val-de-Grace di Paris. Beliau sedar sepanjang insiden itu.

"Berita daripada kakitangan perubatan adalah baik, beliau dibenarkan keluar hari ini, dan ini membuktikan beliau tidak apa-apa.

"Semua orang tahu beliau bermalam di hospital untuk menjalani ujian, itu perkara biasa kalau kita tiba-tiba berasa pening, tetapi semuanya nampak positif," kata Patrick Devedjian, menteri yang bertanggungjawab terhadap pelan pemulihan fiskal Perancis, kepada radio Perancis, RTL hari ini.

Sarkozy tidak pengsan tetapi bermalam di hospital untuk menjalani pemeriksaan kardiologi rutin, kata jurucakap pejabat Presiden.

Beliau telah membatalkan satu acara hari ini dan keputusan akan diambil mengenai jadualnya esok.

Masalah kesihatan semua Presiden Perancis mengikut tradisinya telah dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Francois Mitterrand disahkan menghidapi kanser tidak lama selepas beliau dipilih menjadi Presiden pada 1981, tetapi hanya mendedahkan keadaan kesihatannya itu pada 1992.

Sarkozy sewaktu mula menjadi Presiden berjanji untuk menyiarkan maklumat terkini mengenai keadaan kesihatannya dari semasa ke semasa, dan keputusan ujian darah dan kardiovaskular yang disiarkan pada 3 Julai lalu adalah normal.







China marah pemimpin Uighur dibenar lawat Jepun


Rebiya Kadeer mengangkat tangan kepada wartawan sebaik-baik tiba di Lapangan Terbang Narita, Tokyo, semalam. - AFP


TOKYO 28 Julai - Pemimpin minoriti Uighur China yang hidup dalam buangan tiba di Jepun hari ini untuk mengadakan lawatan, sekali gus meningkatkan kemarahan Beijing yang menuduhnya sebagai perancang keganasan etnik di selatan negara itu baru-baru ini.

Rebiya Kadeer, ketua Kongres Uighur Sedunia, dijangka menggunakan lawatan selama lima harinya itu untuk mendapatkan sokongan terhadap etnik Uighur ekoran kejadian rusuhan berdarah di wilayah Xinjiang awal bulan ini.

Beliau akan mengadakan sidang akhbar esok dan berjumpa dengan anggota parti Perdana Menteri Taro Aso, menurut penyokongnya di sini, walaupun pegawai parti pemerintah berkata mereka tidak tahu tentang sebarang rancangan hubungan rasmi.

"Jadual perjalanan beliau belum ditetapkan sepenuhnya dan mungkin akan berubah. Kami sedikit risau tentang keselamatannya ekoran beliau pernah diserang oleh kumpulan perusuh," kata seorang penyokongnya kepada AFP.

Sebarang hubungan rasmi antara Rebiya dengan parti pemerintah Jepun akan mencetuskan kemarahan China yang sebelum ini mendakwa beliau adalah perancang rusuhan di Urumqi antara etnik Uighur dan Han yang menyebabkan lebih 190 orang terbunuh.

Rebiya bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan jumlah kematian akibat rusuhan berdarah itu adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan kerajaan China.

Kementerian Luar China semalam meluahkan 'perasaan tidak puas hati dengan tegas' berhubung keputusan Jepun membenarkan Rebiya, yang pernah dipenjarakan selama enam tahun di China sebelum dibebaskan pada 2005 akibat tekanan daripada AS, untuk memasuki negara ini.

"Tanpa menghiraukan bantahan keras China, kerajaan Jepun tetap membenarkan Rebiya melibatkan diri dalam kegiatan kumpulan pemisah anti-China," kata jurucakap Kementerian Luar, Qin Gang.

Duta China ke Jepun, Cui Tiankai turut memberi amaran dalam satu temuramah dengan media Jepun bahawa hubungan antara kedua-dua negara akan musnah jika Tokyo membenarkan Rebiya melakukan lawatan di negara ini.

Sebelum ini, Jepun menyatakan kematian disebabkan rusuhan etnik di Xinjiang 'amat dikesali' dan meminta supaya penyelesaian secara aman dilakukan.

Diplomat Jepun pada awal bulan ini turut menggesa China untuk melindungi hak asasi etnik Uighur selepas insiden rusuhan berdarah di negara itu.





Go to fullsize image




Suu Kyi terima anugerah Amnesty

DUBLIN 28 Julai - Vokalis utama kumpulan U2, Bono semalam mengumumkan penyampaian anugerah kehormat tertinggi Amnesty International kepada pemimpin demokrasi Myanmar paling lama ditahan, Aung San Suu Kyi pada konsert jelajah Eropahnya di Croke Park di sini.

Badan pemantau hak asasi manusia berkata, pihaknya berharap Anugerah Duta Suara Hati dapat melindungi Suu Kyi ketika berdepan dengan hukuman penjara.

"Jenayah yang dilakukannya adalah jika dia bebas menyertai pilihan raya pada 2010, dia pasti akan menang.

"Pada minggu ini, rejim kejam yang memenjarakannya akan memutuskan jika dia akan menghabiskan tempoh lima tahun lagi di dalam penjara," kata Bono.

Bono berharap anugerah kehormat antarabangsa yang baru diterima oleh Suu Kyi itu akan 'dapat membantu menyelamatkannya'.

Pemimpin-pemimpin Amnesty International berkata, anugerah itu telah diberikan sempena ulang tahun ke-20 penangkapan awal Suu Kyi pada 20 Julai 1989 semasa mengetuai satu kempen mengusir diktator tentera Myanmar.

Parti pembangkang yang diwakili Suu Kyi, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi telah memenangi pilihan raya nasional pada tahun 1990 tetapi pihak tentera enggan menyerahkan kuasa kepada Suu Kyi.

Suu Kyi yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 menjalani hukuman tahanan di rumah selama 14 tahun daripada 20 tahun.

Suu Kyi, 64, kini dibicarakan atas tuduhan melindungi seorang lelaki Amerika yang berenang merentasi tasik di kediamannya.

Kesalahan kerana melanggar syarat-syarat tahanan di rumah membawa kepada hukuman penjara lima tahun.







Go to fullsize imageGo to fullsize image


India diiktiraf pengeluar filem terbesar dunia

NEW DELHI 28 Julai - Dengan mengeluarkan lebih 1,000 judul filem setahun, India atau Bollywood diiktiraf oleh sebuah badan pemantau pembikinan filem antarabangsa sebagai pengeluar filem terbesar dunia.

Jumlah ini melebihi gabungan pengeluaran Amerika Syarikat atau Hollywood, Jepun dan China.

Menurut European Audiovisual Observatory (EAO) seperti yang dilaporkan oleh The Times of India, Bollywood mengeluarkan 1,132 filem pada 2007.

Jumlah pengeluaran India pada 2008 tidak dinyatakan.

EAO melaporkan Amerika Syarikat atau Hollywood menjadi pengeluar kedua terbesar pada 2008 dengan 520 buah filem, diikuti Jepun sebanyak 418 filem dan China 400 filem.

Turut dilaporkan, India mempunyai bilangan penonton terbanyak iaitu seramai 3.3 bilion tahun lalu, melebihi keseluruhan jumlah penonton di sembilan negara pengeluar utama filem dunia.

Menurut Fokus 2009-Trend Pasaran Filem Dunia terbitan EAO, Amerika Syarikat hanya merupakan sebuah negara lagi yang mempunyai satu bilion penonton.

Namun Bollywood dilaporkan tidak dapat bersaing dengan Hollywood dari jumlah kutipan box-office di mana Hollywood memungut AS$9.7 bilion (RM33.95 bilion) tahun lepas, sementara Jepun sebanyak AS$1.9 bilion (RM6.65 bilion).

India pula memungut kutipan box-office sebanyak AS$1.8 bilion (RM6.3 bilion) pada 2007, menurut terbitan EAO itu.








Go to fullsize image



Karzai tawar Taliban berunding

KABUL 28 Julai - Presiden Hamid Karzai menawarkan rundingan damai dengan puak Taliban sekiranya kumpulan itu bersedia menolak keganasan dan membina perhubungan baru dengan negara Barat, jika dia memenangi penggal kedua pilihan raya Presiden pada bulan depan.

Karzai dianggap sebagai calon popular dalam pilihan raya Presiden Afghanistan pada 20 Ogos ini. Bagaimanapun peluangnya bergantung kepada kaum Pashtun di kawasan selatan dan timur yang bergolak, lokasi di mana tentera AS dan Britain paling ramai mati dalam perang selama lapan tahun di Afghanistan.

Daripada 39 calon, satu-satunya calon yang memberi saingan kuat kepadanya dipercayai datang daripada bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah, yang mampu menarik undi sekiranya kekurangan jumlah pengundi Pashtun, kumpulan etnik terbesar negara ini.

Dalam satu temu ramah dengan AP di pejabatnya, Karzai mahu mendekati puak Pashtun yang tidak puas hati, menyeru kepada dialog dengan anggota Taliban yang tidak terlibat dengan al-Qaeda serta bersedia untuk menolak keganasan dan 'mengumumkannya secara terbuka'.













Tandas di ISS rosak


Mike Barratt menjalankan kerja-kerja pembaikan di tandas ISS - Gambar NASA TV


BAGAIMANA keadaannya ketika anda mahu ke tandas tetapi tandas tersebut rosak dan ketika itu anda berada sejauh kira-kira 400 kilometer daripada bumi.

Itulah yang berlaku kepada 13 orang angkasawan yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)

Masalah itu disebabkan salah satu daripada pam air di dalam bilik mandi utama yang disambungkan kepada sistem kitar semula telah pecah.

Berikutan itu, dua orang angkasawan iaitu Frank De Winne dari Belgium dan Michael Barratt dari Amerika telah bertindak sebagai tukang paip sementara.

Disebabkan peristiwa tersebut, semua krew perlu beratur panjang untuk menggunakan tandas angkasawan Rusia serta tandas sementara yang disediakan.






Wanita semakin lama semakin cantik


ANGELINA Jolie, aNTARA WANITA TERCANTIK DUNIA.


PARA saintis dari Universiti Helsinki menemukan bukti bahawa wanita cantik mempunyai lebih ramai anak berbanding wanita hodoh.

Malahan wanita cantik juga cenderung untuk melahirkan lebih banyak bayi perempuan berbanding lelaki. Dan apabila anak perempuan mereka meningkat dewasa, mereka akan menjadi wanita cantik mengikut ciri ibu.

Mereka juga cepat bertemu jodoh serta meneruskan generasi dengan melahirkan lebih ramai anak perempuan yang cantik. Ini meneruskan generasi perempuan cantik di dunia.

Manakala, menurut kajian itu lagi, kecantikan kaum lelaki tidak banyak berubah berbanding dengan generasi yang dilahirkan pada zaman batu dahulu.

Menurut saintis tersebut juga, pasangan suami isteri yang sama cantik kurang berpotensi untuk mendapat anak lelaki berbanding anak perempuan.

Kajian yang diterbitkan kepada umum minggu lalu mendapati wanita cantik mempunyai kesuburan sebanyak 16 peratus lebih dari wanita yang tidak cantik.

Sebanyak 2,000 orang dewasa lelaki dan wanita di Amerika terlibat dalam kajian yang berlangsung selama empat dekad.

Kecantikan responden dinilai menerusi gambar yang diambil serta jumlah anak yang mereka miliki.











ANTARA KEHENDAK KEROHANIAN DAN TARIQAT

Antara Kehendak Kerohanian Dan Tarekat
Disiarkan pada Apr 19, 2009 dalam kategori Akidah
Apabila masyarakat manusia menjadi berselerak, kelam kabut, porak peranda, kekontangan jiwa, keruntuhan nilai akhlak dan budi, sedangkan penyelesaian yang memuaskan tidak dapat ditemui, ketika seperti itu kita akan melihat bagaimana sebahagian manusia akan mula mencari agama sebagai jalan keluar. Jika pun tidak untuk merongkaikan masalah itu secara keseluruhan, sekurang-kurangnya untuk menyelesaikan keresahan atau keserabutan yang ada dalam jiwa seseorang.

Tidak mustahil di peringkat yang seperti ini, ajaran-ajaran kerohanian yang menawarkan ‘kempen-kempen ajaib’ akan mendapat perhatian sesetengah golongan. Tarekat-tarekat yang mempunyai cerita-cerita ajaib dan pelik akan mula diminati oleh sesetengah pihak sebagai satu penyelesaian ‘ekstrim’ yang kononnya dapat membuka kehidupan baru penuh cerita-cerita sakti.

Kita akan melihat banyak pihak akan mengambil kesempatan atas ‘kehausan rohani’ masyarakat. Ada yang bertujuan menyebarkan ajaran sesatnya, ada juga pula yang bertujuan untuk mengumpulkan kekayaan atau kuasa. Hal seperti ini sering berlaku ketika kemelut sosial melanda masyarakat Islam termasuk semasa zaman ‘Abbasiah. Ia juga akan berlaku dalam negara kita. Saya ingin menyentuh tajuk ini kerana banyak pihak mula bertanya tentang banyak cerita-cerita tarekat yang mula muncul dalam masyarakat kita.

Saya ingin mengingatkan pembaca tentang satu hakikat yang penting bahawa Islam itu ditegakkan atas prinsip-prinsip akidah yang jelas. Paksi akidah Islam terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Apa-apa pengalaman kerohanian yang tidak berasas akidah Islam adalah tertolak. Siapa pun syeikh, besar mana pun serbannya, sepetah mana pun dia, apa pun tafsirannya tentang kerohanian, namun jika ia bercanggah dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, maka ia tertolak.

Agama-agama lain juga ada pengalaman kerohanian mereka, namun itu semua tidak dijadikan sukatan dalam ajaran Islam untuk menentukan ketepatan ajaran. Pengalaman kerohanian itu diterima jika tidak bercanggah dengan wahyu yang diturunkan. Rasulullah s.a.w ialah guru kerohanian yang agung dan utama, mengatasi segala tokoh dan syeikh tarekat. Jika ajaran kerohanian itu tidak sama dengan ajaran Rasulullah s.a.w maka itu bukan jalan hidayah yang diimani oleh seorang muslim.

Ya, kita akur persoalan kerohanian dan penyucian jiwa adalah perkara yang penting dan ada dalam ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Usaha untuk membersihkan diri itu mestilah dengan panduan kedua sumber tersebut secara tepat. Tanpa tarekat tertentu, apa yang ada dalam al-Kitab dan al-Sunnah sudah memadai bagi setiap muslim. Bukanlah bererti bahawa seseorang jika tidak menyertai terekat bererti dia tidak akan dapat membersihkan diri.

Sebaliknya, sekiranya seseorang berpegang dengan ajaran Nabi s.a.w dia akan menemui semua penawar untuk jiwa. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak berhubung dengan tazkiah al-Nafs (penyucian jiwa). Ahlus Sunnah wal Jama’ah berpegang bahawa jalan untuk membersih telah pun ditunjukkan dengan jelas oleh baginda s.a.w. Itulah tonggak kerohanian. Bahkan mana-mana jalan (tarekat) kerohanian yang bercanggah dengan jalan Rasul s.a.w adalah ditolak, seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Seorang tokoh ilmuwan Islam terkenal Dr. `Abd al-Karim Zaidan dalam buku yang masyhur Usul al-Da’wah menyebut:

“Amalan soleh adalah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah. Apa yang sahih itu adalah yang menepati syarak, maka membuat bid`ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah. Bid`ah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bid`ah itu mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahan. Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu al-Rasul S.A.W memberi amaran mengenai bid`ah, sabdanya:“Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah di dalam neraka” (sahih: riwayat Abu Daud). Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada dengannya. (m.s. 41, Beirut : Muassasah al-Risalah)

Perkara kedua yang patut kita sedar, bahawa sebahagian ajaran tasawwuf dan tarikat dipengaruhi oleh anasir-anasir luar daripada Islam, seperti unsur-unsur ajaran Kristian, Hindu, Parsi, Yunan dan lain-lain. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawwuf telah terpengaruh –pada tahap tertentu- unsur-unsur asing, samada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan, juga unsur-unsur Islam. Dalam tempoh masa sekian lama, telah masuk ke dalam tasawwuf pemikiran yang pelik daripada sumber-sumber yang disebutkan tadi atau selainnya. Sehinggakan sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul, atau al-ittihad, atau wahdatul wujud. Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid, zauq dan berhukum dengan perkara-perkara tersebut dalam nas-nas agama. Mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawwuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyah, m.s. 94-95, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Saya menimbulkan hal ini, bukan bertujuan mematahkan semangat mereka yang ingin membersihkan diri. Saya menimbulkannya untuk kita berhati-hati. Jangan sampai ada pihak yang tersangkut dengan ajaran yang memisahkan antara hakikat dan syariat, atau dalam erti kata lain menganggap kerohanian yang mereka pelajari tidak lagi bergantung kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam kehendak ingin mendekati Allah, janganlah kita tersasul sehingga terjun ke lembah falsafah kerohanian yang mengeluarkan pemikiran dan cerita-cerita yang pelik, yang akhirnya bukan membawa insan mendekatkan diri kepada al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya ‘seronok sendiri’ dengan bahasa dan istilah yang dia anggap orang lain tidak tahu. Bak kata tokoh ilmuwan besar al-Syeikh Munna’ al-Qattan ketika memperkatakan tentang tafsir golongan sufi:

“Tasawwuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya”.( Manna’ al-Qattan, Mabahith Fi `Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma`arif).

Dalam dunia umat Islam berbagai ajaran kerohanian atau tarekat wujud. Hingga ada yang salah faham, sehingga menganggap tarekat sufi yang memakai ‘skirt’ berpusing berjam-jam tanpa henti dalam keadaan khayal seperti di Turki, itulah kerohanian Islam. Sama sekali tidak. Kita berpegang apa yang al-Imam al-Syatibi (w. 790H) kata:

“Golongan sufi juga sama seperti orang lain yang tidak maksum (terpelihara dariapada dosa). Adalah mungkin untuk mereka silap, lupa dan bermaksiat samada dosa kecil atau besar. Justeru itu para ulama menyatakan: setiap percakapan boleh diambil atau ditinggalkan, kecuali percakapan Nabi s.a.w…sepertimana kemungkinan untuk selain golongan sufi melakukan maksiat dan bid`ah, demikian mereka (ahli sufi). Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang dari silap (maksudnya RasululuLah s.a.w) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat pada ikutan tersebut kekeliruan. Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya. Kita hanya diwajibkan mengikut syarak dan kita tidak pula diwajibkan mengikut perkataan dan perbuatan golongan sufi, melainkan setelah dibentangkannya” (kepada al-Quran dan al-Sunnah).( Al-Syatibi, Al-`Itisam m.s 165, Beirut Dar al-Kitab al-`Arabi, Beirut)

Tafsir Fi Zilalil Quran.

















Iran mampu musnahkan kemudahan nuklear Israel.

26/07/2009 3:13am

TEHRAN, Iran 26 Julai – Ketua Pengawal Revolusi Iran berkata, negaranya mempunyai kemampuan untuk menyerang akses kemudahan nuklear Israel dan tidak takut jika diserang kerana meneruskan program nuklearnya.

“Jika Israel melibatkan diri dalam mana-mana serangan ke atas Iran, kami mempunyai kemampuan untuk melancarkan serangan di semua sasaran wilayah-wilayah yang diduduki oleh Israel di Palestin, kata Jeneral Mohammad Ali Jafari kepada televisyen, Al-alam.



Go to fullsize imageGo to fullsize image






Mengapa indonesia?

Mengapa Indonesia? Itulah soalan wartawan, rakan-rakan dan pelbagai lapisan masyarakat di Indonesia yang kini kekeliruan dan kebingungan apabila berlaku serangan bom di Mega Kuningan, Jakarta Selatan, 17 Julai lalu.

Soalan yang sama penulis tanyakan kepada rakan-rakan dan pelbagai teori timbul. Paling menyedihkan apabila ada rakan wartawan yang menuduh serangan itu angkara Malaysia kerana cemburu dengan pertumbuhan ekonomi Indonesia yang semakin pesat.

Ada yang mengatakan ia adalah angkara Israel yang bimbang dengan pembangunan ekonomi Indonesia sebagai negara Islam terbesar dunia kini berada di tempat ketiga di dunia di belakang China dan India dari segi potensi pelaburan.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pula menuduh pihak yang kalah pada Pilihan Raya Presiden lalu yang melakukan kerja terkutuk tersebut.

Tetapi akhirnya penulis menemui jawapan yang lebih meyakinkan iaitu daripada mantan Ketua Pasukan Anti Pengganas Indonesia (Densus 88), Suryadarma Sadim. Jeneral yang telah bersara itu dengan tegas menyatakan ia adalah angkara pengganas antarabangsa Al-Qaeda.

Motifnya adalah ringkas untuk menubuhkan sebuah negara Islam yang mengikut sistem yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Sekali lagi mengapa Indonesia? Selepas runtuhnya kerajaan Taliban di Afghanistan, Al-Qaeda berusaha mencari lokasi baru untuk dijadikan markas baru dan mereka telah mencuba di beberapa buah negara termasuk Turki, Pakistan, Somalia, Australia, Malaysia, Thailand serta Filipina.

Usaha di tempat lain tidak mencapai hasil seperti di Indonesia. Negara republik itu mempunyai sejarah perjuangan berdarah dalam menuntut kemerdekaan dan antara yang terlibat adalah golongan mahu memerdekakan Indonesia dan menjadikannya sebagai negara Islam.

Cita-cita itu belum tercapai, tetapi ia masih subuh di kalangan segelintir masyarakat Indonesia yang memegang fahaman tersebut dan apabila terbabat bibit fahaman sedemikian yang disebarkan oleh Al-Qaeda melalui Jemaah Islamiah, mereka mudah terpengaruh.

Pergerakan itu mahu menguasai Indonesia dan selepas itu mereka akan menyerang Malaysia, Singapura, Filipina dan Thailand bagi mewujudkan rantau Islam.

Mengapa

Mengapa Malaysia dan Singapura tidak diserang? Kata Suryadarma ia adalah kerana kedua-dua buah negara itu menjadi penyumbang dana kepada latihan yang dijalankan di Indonesia.

Mengikut rekod Al-Qaeda telah melancarkan serangan bom ke atas Indonesia sejak tahun 2000 dan dan dalam tempoh itu sebanyak 26 serangan dilakukan.

Hotel J.W Marriott sendiri diserang sebanyak dua kali iaitu pertama kali pada tahun 2003. Kali ini serangan diperluaskan kepada hotel berdekatan iaitu Hotel Ritz-Carlton.

Pada serangan pertama bom trak digunakan dan bom berkenaan diledakkan di hadapan hotel tersebut, tetapi kali ini serangannya lebih berani iaitu menggunakan manusia sebagai pengebom berani mati dan bom tersebut diledakkan di dalam hotel. Suryadarma berkata trend tersebut adalah sama yang dengan serangan yang dilakukan ke atas bangunan World Trade Center di Amerika Syarikat.

Serangan pertama menggunakan bom trak, tetapi ia gagal merobohkan bangunan yang menjadi kebanggaan rakyat Amerika dan serangan kedua menggunakan pesawat yang akhirnya meranapkan seluruh bangunan tersebut.

Perkara itulah yang dikhuatiri oleh Suryadarma, kerana ia berpotensi berlaku di Indonesia dan beliau berdoa agar ia tidak akan berlaku. Untuk makluman Densus 88 adalah pasukan khas yang ditubuhkan oleh Polis Indonesia bagi menangani pengganas.

Pasukan yang mempunyai kekuatan kira-kira 400 anggota itu dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat melalui Perkhidmatan Keselamatan serta Diplomatik dan mereka dilatih oleh CIA, FBI dan Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat.













Ronaldo bintangi filem Iran

SAO PAULO 23 Julai - Ronaldo (gambar) akan membintangi filem Iran yang mengisahkan kehidupan seorang remaja perempuan Palestin yang terbunuh sebelum memenuhi impian untuk berjumpa dengannya.

Ronaldo bersetuju untuk berlakon dalam filem itu dan akan memulakan penggambaran awal September ini di Lebanon, menurut pegawai Dewan Perniagaan Brazil-Iran, yang turut membantu menerbitkan filem tersebut.

Filem yang masih belum ada judul itu adalah berdasarkan kisah sebenar Alneyrab, 13, yang mengimpikan untuk berjumpa dengan bintang bola sepak pujaannya itu ketika Ronaldo melawat Asia Barat dalam misi keamanan pada 2005.

Dia bagaimanapun hanya dapat melihat pemain pujaannya itu berlalu pergi bersama pasukan rombongannya dan kemudiannya terbunuh dalam konflik di rantau itu.

Ejen Ronaldo, Fabiano Farah mengesahkan kepada laman web Globo bahawa Ronaldo telah menandatangani pra-kontrak untuk filem tersebut.

Pemain berusia 32 tahun itu yang semakin menyerlah dengan kelab Corinthians setelah mengalami kecederaan lutut yang serius kali ketiga dalam kerjayanya, akan muncul dalam beberapa babak dalam angan-angan remaja tersebut.

Dia dijangka hanya akan berada beberapa hari di Lebanon untuk pengambaran filem.

Chandan bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah bayaran yang diberikan kepada Ronaldo untuk filem yang digelarnya penerbitan 'kemanusiaan'.

Ronaldo telah menjadi duta muhibah untuk Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sejak tahun 2000 dan telah membuat lawatan ke Israel serta Tebing Barat pada 2005 sebagai sebahagian daripada kempen menentang kemiskinan di seluruh dunia.





















No comments:

Post a Comment