Sunday, October 25, 2009

Konsolidasi fiskal diteruskan

EKONOMI negara yang dipacu perbelanjaan sektor awam dan penggunaan swasta tinggi tahun ini dijangka pulih tahun depan.


Ini berikutan teras dasar fiskal yang menumpukan terhadap usaha memperkukuh dan mengekalkan proses pemulihan dengan merancakkan lagi permintaan domestik.


Aktiviti ekonomi juga dijangka lebih rancak dengan peningkatan penggunaan dan pelaburan swasta serta memastikan semua projek serta program sektor awam di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) siap mengikut jadual.


Walaupun dengan kutipan hasil yang rendah namun dengan perbelanjaan berhemat mampu memperbaiki kedudukan defisit kerajaan kepada 5.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Pembiayaan defisit diperoleh daripada sebahagian besar sumber dalam negara yang tidak mengakibatkan kesan inflasi.

Berikutan penguncupan ekonomi tahun ini dan pemulihan sederhana pada tahun 2010, Kerajaan Persekutuan menjangkakan pengurangan hasil sebanyak 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion.

Tahun depan, jumlah itu berkurangan 11.3 peratus kepada RM189.5 bilion berbanding tahun sebelumnya dengan mengambil kira sumber pengurusan kewangan berhemat bagi memastikan kemapanan dasar fiskal dan kestabilan makroekonomi.

Perbelanjaan mengurus diramal turun dengan ketara 13.7 peratus kepada RM138.3 bilion disebabkan perbelanjaan rendah dalam komponen utama seperti subsidi, bekalan, perkhidmatan dan geran badan berkanun.

Pada masa sama, kerajaan tetap mengutamakan kebajikan rakyat seperti peruntukan subsidi bahan api lebih besar (RM10 bilion) meningkat 10.7 peratus dipengaruhi kenaikan harga minyak mentah.


Untuk perbelanjaan pembangunan, RM51.2 bilion diperuntukkan bagi tahun 2010, 4.4 peratus lebih rendah berbanding 2009 berikutan projek di bawah RMK-9 telah dilaksanakan mengikut jadual.

Bagaimanapun, pengurangan tersebut tidak melembapkan aktiviti ekonomi disebabkan pemulihan ekonomi global yang disokong oleh langkah fiskal dan kewangan berkesan bagi mengembalikan momentum pertumbuhan berterusan.


Peruntukan sektor perkhidmatan ekonomi pula disalurkan ke arah pengangkutan dan pembangunan infrastruktur (RM6.7 bilion), membina keupayaan perdagangan dan perindustrian (RM4.4 bilion), menggalakkan produktiviti pertanian dan pembangunan luar bandar (RM3.1 bilion).


Peruntukan RM3.7 bilion diberikan kepada kemudahan awam (pembekalan air, elektrik luar bandar dan khidmat pembentungan) dan RM3.5 bilion untuk mempercepatkan pembangunan lima wilayah koridor.


Berikutan pemulihan ekonomi yang semakin jelas dan teguh, konsolidasi fiskal akan tetap diteruskan mengikut perancangan.

No comments:

Post a Comment