Maklumat lanjut, sila layari http://www.perkepis.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
TEGUCIGALPA 28 Julai - Kongres Honduras semalam mengelak untuk mengundi berhubung sama ada Presiden Manuel Zelaya yang digulingkan boleh kembali berkuasa selepas rampasan kuasa pada bulan lepas, dengan menyatakan keputusan itu di bawah kuasa Mahkamah Agung.
Ketua Kongres, Jose Alfredo Saavedra berkata, ahli majlis perundangan tidak boleh mengundi untuk mengembalikan kuasa Zelaya - yang merupakan sebahagian daripada rancangan Presiden Costa Rica, Oscar Arias untuk mengakhiri krisis politik Honduras, kerana ia adalah persoalan Perlembagaan.
Amerika Syarikat (AS) semalam, menuntut jawatan Zelaya dikembalikan tetapi tidak membuat sebarang komitmen untuk meningkatkan sekatan bagi menekan kerajaan sementara yang menggantikan pemimpin berhaluan kiri itu selepas rampasan kuasa pada 28 Jun lalu itu.
Rampasan kuasa di Honduras yang merupakan negara miskin yang mengeksport tekstil dan kopi, adalah krisis politik Amerika Tengah paling buruk dalam tempoh dua dekad serta merupakan cabaran kepada komitmen Presiden AS, Barack Obama untuk memperbaiki hubungan dengan Amerika Latin.
Zelaya, sekutu kepada Presiden Venezuela, Hugo Chavez digulingkan apabila dia menuntut diadakan pungutan suara untuk mengubah Perlembagaan bagi membolehkan tempoh penggal Presiden ditambah - satu langkah yang disifatkan Mahkamah Agung sebagai tidak mengikut Perlembagaan.
Zelaya kini hidup dalam buangan di negara jirannya, Nicaragua.
''Kongres Honduras telah menubuhkan satu jawatankuasa semalam untuk mengkaji sebahagian daripada elemen cadangan Arias, termasuk pengampunan kepada penjenayah politik yang melindungi Zelaya dan ia dijangka akan mencapai keputusan pada Khamis,'' kata Saavedra.
Perbincangan antara pihak yang berlawanan di Honduras mengalami masalah pada minggu lepas, berhubung isu mengembalikan jawatan Zelaya, syarat yang dianggap oleh pemimpin sementara, Roberto Micheletti dan penyokongnya sebagai mustahil dan tidak sah.MOSCOW 8 Julai - Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov memberi amaran Amerika Syarikat (AS) akan menjejaskan kemajuan ke arah memeteraikan perjanjian baru dengan Moscow berhubung pengurangan senjata nuklear, jika Washington memutuskan untuk menubuhkan sistem pertahanan peluru berpandu global.
Lavrov membuat kenyataan itu semalam, sehari selepas Presiden-Presiden Rusia dan AS mencapai perjanjian awal bagi menetapkan sasaran untuk mengurangkan lagi stok senjata nuklear untuk tujuan serangan.
Mesej Lavrov ialah Rusia tidak akan mempersetujui pengurangan tersebut, jika AS gagal meredakan kebimbangan Moscow tentang rancangan pertahanan peluru berpandu Washington.
Kedua-dua negara kuasa besar tersebut menyatakan bahawa mereka mahu pengurangan senjata nuklear itu dimaktubkan dalam satu perjanjian baru sebelum perjanjian START I yang ada sekarang luput pada Disember ini.
Menurut Lavrov, Rusia telah mendapat persetujuan AS bahawa perjanjian baru itu nanti akan mengakui pertalian antara senjata untuk tujuan serangan dengan senjata untuk tujuan pertahanan.
"Jika rakan-rakan kami (AS) membuat keputusan untuk mewujudkan sistem pertahanan peluru berpandu Amerika yang menjangkau ke seluruh dunia, langkah ini sudah tentu menimbulkan tanda tanya mengenai prospek pengurangan lanjut dalam senjata nuklear strategik bagi tujuan serangan," kata Menteri Luar itu.
Rusia mahu Presiden AS, Barack Obama membatalkan rancangan pentadbiran Bush sebelum ini untuk menempatkan kemudahan pertahanan peluru berpandu di Poland dan Republik Czech |
|
URUMQI, China 8 Julai - Presiden China memendekkan lawatan ke sidang kemuncak Kumpulan Lapan (G8) dan bergegas pulang selepas ketegangan kaum di wilayah Xinjiang semakin meruncing dan kerajaan telah mengerahkan ribuan anggota keselamatan untuk mengawal keadaan berikutan rusuhan yang menyebabkan 156 orang mati.
Dua buah helikopter menggugurkan risalah yang meminta 2.3 juta penduduk di bandar utama Xinjiang bertenang, sehari selepas berlaku pertempuran jalanan antara etnik Han dengan kaum minoriti Uighur yang melibatkan penggunaan batu, paip besi dan pisau.
Kementerian Luar China dalam kenyataannya berkata, 'disebabkan situasi yang berlaku di Xinjiang, Presiden Hu Jintao memendekkan lawatan ke Itali untuk menghadiri mesyuarat G8 lewat hari ini dan pulang ke tanah air.
Tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan ke Urumqi yang terletak empat jam perjalanan udara di barat Beijing.
Selepas perintah berkurung sepanjang malam, jalan-jalan raya lebih tenang hari ini namun penduduk menunjukkan rakaman video menggunakan telefon dan kamera video yang menayangkan kekecohan awal, keganasan antara jiran tetangga dan pertumpahan darah.
"Kerajaan hari ini meminta kami tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti ganas. Mereka telah menyiarkannya di radio dan melalui kawasan kejiranan dengan pembesar suara meminta penduduk tidak membawa senjata," kata seorang lelaki Han yang hanya mahu dikenali sebagai Wang.
Sekumpulan besar polis separa tentera mengawal jalan utama ke kawasan kejiranan Uighur. Kebanyakan mereka menggunakan perisai dan belantan sementara beberapa yang lain dilengkap dengan senapang dengan bayonet.
Nota yang digugurkan dari helikopter adalah rayuan oleh Setiausaha Parti Komunis Xinjiang, Wang yang meminta semua orang pulang ke rumah, pulang ke tempat kerja dan pulang kepada komuniti masing-masing. |
|
JAKARTA, 8 Julai - Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) mendahului dua lawannya pada pilihan raya Presiden Indonesia 2009-2014 (Pilpres) berdasarkan hasil kajian kiraan pantas yang dijalankan oleh lima lembaga survei tempatan setakat pukul 3 petang ini.
SBY yang berpasangan dengan Boediono mendahului di kelima-lima kajian yang dijalankan oleh Lembaga Survei Indonesia (LSI 1), Lingkaran Survei Indonesia (LSI 2), Lembaga Penelitian, Pendidikan dan Penerangan Ekonomi dan Sosial (LP3ES), CIRRUS dan Lembaga Riset Informasi (LRI).
Seperti paparan di laman web detikcom, SBY-Boediono mendahului di LSI 1 dengan mendapat 60.79 peratus sokongan mengatasi Megawati-Prabowo (26.43) dan Jusuf Kalla-Wiranto (12.78) manakala menurut LS1 2 pula SBY-Boediono (59.64), Megawati-Prabowo (27.54) dan Jusuf Kalla-Wiranto (12.82).
Dalam kajian LP3ES juga SBY-Boediono berada jauh di depan lawan-lawannya dengan mendapat 59.82 peratus sokongan, di CIRRUS (60.14) dan di LRI (60.27).
Sementara itu, dalam perkembangan terbaru LSI, pimpinan Denny JA sudah yakin bahawa pilpres 2009 ini hanya berlangsung satu pusingan dan pemenangnya ialah pasangan SBY-Boediono yang meraih sokongan melebihi 50 peratus di banyak wilayah, manakala dua pasangan lawannya jauh tertinggal.
Seorang peneliti LSI ketika mengulas hasil kiraan pantas yang dilakukan lembaganya di stesen televisyen TVOne pada Rabu menunjukkan jumlah undi yang dikira sudah melebihi 70 peratus.
Mengulas keputusan kiraan pantas itu, SBY dalam ucapan yang disiarkan stesen TV pada kira-kira pukul 3 petang, mengucapkan syukur di atas pencapaian itu dan berterima kasih kepada semua pasukannya tetapi tetap berharap mereka menunggu keputusan rasmi yang akan diumum Komisi Pemilihan Umum (KPU) (seperti Suruhanjaya Pilihan Raya di Malaysia).
"Hasil dari lembaga survei, Alhamdulillah...tetapi kami tetap menunggu keputusan dariPADA KPU hingga pada waktunya nanti diumumkan kepada seluruh rakyat Indonesia," katanya yang kelihatan tenang dan banyak tersenyum.
Meneruskan budaya tenang yang sebati dengan karekternya, SBY juga meminta semua penyokongnya untuk menjaga perasaan calon lain dan tidak menunjukkan kegembiraan yang berlebihan, apalagi keputusan rasmi belum diperolehI.
Laman web detikcom pula melaporkan dari kediaman peribadi SBY, Puri Cikeas, bahawa SBY dan isteri, Ibu Ani Yudhoyono, kini sudah dilimpahi ucapan tahniah dan slogan SBY "Lanjutkan!" terus menerus dilaungkan penyokongnya.
Undang-undang pilihan raya Indonesia menetapkan Pilpres hanya dijalankan satu pusingan jika ada calon yang mendapat lebih 50 peratus undi dengan sebarannya melebihi 20 peratus di sekurang-kurangnya 17 dari 33 wilayah Indonesia. |
|
KUALA LUMPUR 2 Julai – Kemelut politik pakatan pembangkang di Kedah dijangka menjadi lebih teruk pada masa akan datang kerana kerjasama yang terbentuk antara mereka bukannya tulen, tetapi lebih kepada kepentingan politik masing-masing.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang adalah kerana kerjasama rapuh di dalam pakatan itu boleh disifatkan seperti kahwin mutaah.
“Sekejap saja, lepas itu bercerai. Macam itulah, sebab itu kita tidak terkejut langsung kerana kita sudah jangka ini akan berlaku,” katanya selepas merasmikan Program Usahaniaga Jalinan Rakyat di sini hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau kurang yakin dengan keputusan DAP itu berdasarkan pengalaman yang dilalui selama ini.
“Baguslah (DAP keluar daripada pakatan pembangkang). Tetapi saya bimbang ini hanyalah sandiwara mereka sahaja.
“Kita tengoklah apa pula akan dikatakan ketua mereka (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selepas ini,” katanya.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai semasa diminta mengulas tindakan DAP Kedah itu menyatakan ia hanya satu sandiwara atau main wayang semata-mata.
Menurut beliau, DAP Kedah sebenarnya tidak perlu tunggu lama untuk keluar daripada kerajaan Pas Kedah kerana banyak tindakan kerajaan negeri itu yang telah menyeleweng daripada matlamat asal mereka.
“Saya rasa kedua-dua parti itu memang banyak masalah dan tidak boleh bersama terutama melibatkan perbezaan dasar dan polisi antara mereka,” katanya.
Menurutnya, MCA memang tahu pakatan pembangkang telah menunjukkan banyak kelemahan dalam pelbagai perkara.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, sejak dari awal lagi kerjasama antara pakatan pembangkang terutama di negeri ini adalah rapuh meskipun pemimpin mereka cuba menunjukkan kesepakatan.
“Saya percaya keretakan hubungan kerjasama pakatan pembangkang akan lebih teruk lagi selepas ini,” katanya.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Badrol Hisham Hashim menyifatkan Pas dan DAP negeri itu umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.
Beliau berkata, Pemuda UMNO langsung tidak terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh DAP negeri Kedah yang bertindak keluar daripada pakatan pembangkang semalam.
“Pakatan pembangkang di negeri Kedah adalah rapuh kerana masing-masing punya agenda tersendiri.
“Kami juga nampak Pas tidak telus dalam perkongsian kuasa dan DAP juga ada agenda mereka tersendiri,” ujarnya.
Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berkata, perkembangan terbaru itu juga membuktikan gabungan parti pembangkang di Malaysia sebenarnya rapuh dengan semangat kesetiakawanan longgar.
|
|
PADA 13 Jun lalu, bukan hanya dunia Islam malah seluruh dunia sebenarnya kehilangan sebutir bintang. Bintang yang sinarnya selama ini tidak sahaja sebagai penghias malam yang kelam malah memberikan banyak panduan terutama dalam menjayakan gerakan dakwah Islamiah dan perpaduan umat Islam.
Bintang tersebut merupakan tokoh besar, Dr. Sheikh Fathy Yakan yang meninggal dunia pada usia 76 tahun di sebuah hospital di Beirut, ibu negara Lebanon atas masalah kesihatan pada pagi Sabtu yang hening itu.
Seorang tokoh besar Islam yang tidak asing lagi, terutama hasil karya besarnya bertajuk Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam? Buku itu adalah salah satu daripada 35 penulisan besar Allahyarham yang menjadi rujukan penting kepada kepada dunia.
Dilahirkan di Tripoli, Libya pada tahun 1933, Allahyarham banyak memberikan corak baru perjuangan gerakan-gerakan dakwah dan politik Islam yang dapat diterima oleh pelbagai pihak di samping seorang ahli cendekiawan atau ahli akademik muslim yang ternama.
Sejak tahun 1959 lagi beliau mengasaskan gerakan politik di Lebanon sehingga beliau mendapat gelaran Bapa Gerakan Islam Lebanon. Malah, sehingga ke akhir hayatnya, beliau masih menganggotai parlimen di negara asalnya itu.
Dr. Fathy banyak menghasilkan penulisan mengenai aliran politik dari yang moden sehinggalah yang berbentuk ekstremis. Judul yang mendapat sambutan dunia sehingga diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa adalah Priorities of Islamic Movements after September 11.
Allahyarhamlah yang paling kerap terpanggil ke serata pelosok tempat untuk menjawab segala tuduhan terhadap Islam sebagai agama keganasan akibat tragedi yang menimpa Pusat Dagangan Dunia New York (WTC) pada tahun 2001 itu.
Dr. Fathy merupakan tokoh yang bertanggungjawab dalam menubuhkan Gamaah (Jemaah) Islamiah pada tahun 1960-an dan komitednya beliau dalam pertubuhan itu sehingga pada tahun 1992, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung.
Selepas bersara, beliau menumpukan tugas sebagai Anggota Parlimen berikutan kemenangan dalam pilihan raya.
Pemergian beliau benar-benar satu kehilangan besar kerana jarang kedapatan mana-mana tokoh yang sanggup menghabiskan seluruh hidupnya, fizikal, jiwa dan rohani dengan tertumpu kepada perjuangan Islam.
Allahyarham terkenal kerana menggesa kepada satu gerakan Islam yang moden dengan pemikiran dan aliran yang toleransi terutama kepada golongan yang muda.
Walau dalam keadaan yang uzur, beliau sering berasa bimbang dengan golongan muda yang baginya mudah terpengaruh kepada pelbagai unsur. Adalah penting baginya untuk membentuk golongan ini kepada yang lebih positif namun mencapai kejayaan dalam gerakan yang mereka sertai.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tinal dan dikebumikan di pusara milik keluarganya di Bab Al Raml. Upacara pengkebumian tokoh Islam ini dihadiri oleh beribu-ribu umat Islam dari seluruh pelosok tempat sejurus berita kematiannya tersebar. Sehingga kini ucapan takziah masih mencurah-curah diterima oleh keluarga arwah.
Penulisan terkenal arwah yang menambahkan lagi kekayaan khazanah dan gedung-gedung ilmu, antaranya:
*The Problems of Da'wah and Du'ah,
*How to Call for Islam?
*Towards a Unified International Call for Islam
*What Does My Commitment to Islam Mean?
*Movements and Doctrines in the Balance of Islam
*Comprehension in the Life of Da'wah and Du'ah
*Towards an Islamic Awakening of the Era
*Methods of Islamic Adaptation in the 20th Century
*Islam -Ideology, Movement and Rebellion
*Youth and Change
*Those Left behind on the Path of Da'wah
*The Preliminaries of the Activist Concept in Islamic Work
*Critical Issues in the Islamic Experience.
Mujur kepada umat Islam hari ini kita masih boleh menghayati dan mengambil manfaat hasil-hasil karya besar Dr. Fathy ini walaupun selepas pemergian Allahyarham.
Antara yang sempat diambil dengan kenyataan beliau semasa menjawab soalan para pengunjung laman web terkenal, Islam Online:
"Walau bagaimanapun, kesan dari tragedi serangan 9 September 2001, Islam menjadi tumpuan dan minat kalangan masyarakat Barat untuk mengenali agama itu dengan lebih dekat lagi.
"Statistik terkini menunjukkan minat terhadap Islam telah berkembang berlipat kali ganda dengan berjuta-juta naskhah al-Quran terpaksa dicetak dan begitu juga buku-buku mengenai Islam terjual dengan begitu laris di pasaran.
"Apa yang lebih menakjubkan dari peristiwa yang mengejutkan itu dan dari kempen-kempen anti Islam, lebih 10,000 penduduk United Kingdom memeluk Islam dan begitu juga 3,000 orang dari penduduk Mexico memeluk Islam dan beratus-ratus lagi dari kalangan Hindu dan Buddha juga meninggalkan agama mereka untuk memeluk Islam. Semua ini berlaku selepas kejadian 9/11, Subhanallah," kata Allahyarham.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke arah roh Allahyarham.
|
|
Lanjutan daripada kejayaan pelaksanaan pemantapan 88 sekolah bestari penanda aras antara tahun 2006 dan 2008, Kementerian Pelajaran meneruskan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) - pemacu inisiatif MSC Malaysia, mewujudkan satu model untuk membantu menyegerakan pembestarian ke sekolah-sekolah luar bandar.
Justeru MDeC akan menyokong usaha tersebut dengan memfokus kepada 50 sekolah luar bandar secara berperingkat.
Sebagai permulaan, sebanyak 15 buah sekolah luar bandar telah dipilih untuk pelaksanaan pada tahun ini.
Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, sekolah bestari merupakan salah satu projek mega negara bagi menyahut cabaran wawasan 2020 untuk membangunkan satu sistem ekonomi yang berasaskan pengetahuan agar dapat menghadapi persaingan dengan negara-negara lain.
''Cabaran tersebut menuntut agar negara membangunkan sumber tenaga yang mempunyai ciri-ciri k-worker, celik dan mahir dalam ICT, mampu bersaing pada peringkat tempatan dan pada peringkat global, bahkan memiliki jati diri dan daya saing yang tinggi.
'' Selaras dengan hasrat ini, kementerian telah mengenal pasti ICT sebagai salah satu faktor penting yang membantu pencapaian matlamat pembangunan pendidikan dari tahun 2001 hingga tahun 2010,'' ujarnya.
Beliau menyatakan demikian pada perasmian pelancaran program tersebut di SMK Felda Besout Sungkai, Perak, baru-baru ini.
Menurut beliau, kementeriannya menyediakan keperluan fizikal dan bukan fizikal untuk membolehkan penggunaan ICT sebagai alat pengupaya (enabling tools) pada semua peringkat organisasi pendidikan.
''Selaras dengan matlamat negara kita, pihak kementerian telah memulakan proses transformasi dalam kurikulum dan sistem penilaian.
''Oleh itu, pihak kementerian menyasarkan yang 10,000 sekolah akan selesai ditarafkan pada akhir 2010,'' ujar Alimuddin.
Katanya, penarafan tersebut mensasarkan 500 buah sekolah mencapai taraf lima bintang, manakala selebihnya mencapai sekurang-kurangnya bertaraf tiga bintang.
Ini bermaksud sekolah-sekolah dapat membudayakan ICT dalam pengurusan, pengajaran dan pembelajaran.
Ia juga akan melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran-kemahiran untuk bersaing di era globalisasi dan bersedia menghadapi ekonomi berasaskan pengetahuan.
Berucap pada majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali berkata, pelaksanaan program tersebut adalah perlu kerana berdasarkan kepada projek rintis, pemantapan 88 sekolah bestari dan juga kajian-kajian yang dijalankan, model pelaksanaan 1 size fits all tidak boleh digunapakai untuk semua sekolah.
''Secara umumnya, program bestari sekolah luar bandar meliputi beberapa aspek-aspek seperti menyediakan perkhidmatan pengurusan dan pemantauan secara end-to-end kepada sekolah dalam pengintegrasian bahan-bahan berasaskan ICT dan alatan bantuan mengajar yang inovatif di dalam pengajaran dan pembelajaran bestari," katanya.
Selain itu, program tersebut juga adalah untuk menggiatkan lagi pencapaian matlamat MSC Malaysia dalam merapatkan jurang digital, oleh itu, tahun ini program bestari ditumpukan kepada sekolah-sekolah luar bandar.
Daripada model pelaksanaan 15 sekolah luar bandar yang terpilih ini, diharapkan pelaksanaan program pembestarian ke sekolah-sekolah luar bandar yang lain akan mengguna pakai model tersebut.
''Selaras dengan mandat MDeC untuk memastikan pembangunan ICT di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, satu kempen 'senang dengan ICT' sedang giat dijalankan.
Program tersebut juga bertujuan mewujudkan model-model pelaksanaan menaiktaraf yang efisien dan kos efektif bagi sekolah-sekolah di luar bandar seperti sekolah menengah harian, sekolah rendah harian, sekolah orang asli dan penan, sekolah agama, sekolah felda, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.
Program-program bestari yang sedang dan akan dilaksanakan kepada 15 sekolah ini merangkumi perkara-perkara berikut:-
1. Penyediaan alat-alat inovatif serta aplikasi untuk pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran
2. Pengurusan perubahan untuk guru besar, pengetua dan guru-guru.
3. Latihan tambah nilai pengintegrasian peralatan dan bahan-bahan berasaskan ICT
4. Pemantauan secara on-site oleh pembimbing dari Institusi Pengajian Tinggi Awam
5. Aktiviti-aktiviti pembudayaan ICT di sekolah seperti pertandingan pengintegrasian alat-alat ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
6. Aktiviti-aktiviti perkongsian pintar dengan komuniti
7. Program Briged Bestari untuk murid yang berminat dan berkeupayaan dalam ICT serta menggembleng ilmu dan kepakaran ICT untuk kegunaan positif.
8. Program Buddy di mana 15 sekolah di antara 88 sekolah bestari penanda aras menjadi rakan rujuk untuk 15 sekolah luar bandar.
9. Kajian impak pelaksanaan program bestari untuk sekolah luar bandar.
MDeC bersama-sama gabungan 10 syarikat tempatan dan syarikat multinasional akan menaiktaraf infrastruktur bilik darjah yang terpilih, perisian serta aplikasi dan latihan tambah nilai.
Dua buah sekolah tersebut adalah SMK Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor dan SK Palong 14 (F), Gemas, Negri Sembilan.
SHAH ALAM 1 Julai – Gara-gara menghina empat hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan melalui satu afidavit sokongan dalam saman yang difailkan, seorang lelaki dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad memerintahkan hukuman itu terhadap Lee Heng Yau dengan alasan tuduhannya ke atas hakim-hakim itu dibuat secara melulu dan menjatuhkan maruah mereka.
Beliau bagaimanapun membenarkan hukuman tersebut ditangguhkan sehingga rayuan selesai dan memerintahkan Heng Yau mengemukakan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
PETALING JAYA 29 Jun - Bilangan pekerja asing di negara ini ialah dua juta orang, iaitu jauh lebih kecil daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah lebih 26 juta orang.
Namun, jumlah bil hospital tertunggak antara kedua-duanya bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini hampir sama.
Bagi tempoh berkenaan, tunggakan bayaran akibat warga asing yang lari daripada membayar bil di semua hospital kerajaan ialah RM3.055 juta sementara tunggakan bil hospital rakyat tempatan ialah RM4.8 juta.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, antara langkah mengatasi masalah itu ialah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam menyediakan kertas cadangan supaya majikan membeli insurans kesihatan untuk pekerja asing.
"Langkah lain ini termasuklah meminta pembayaran pendahuluan yang lebih tinggi berbanding pesakit warga Malaysia.
"Majikan kepada pekerja asing juga perlu mengemukakan surat jaminan bagi memastikan mereka bertanggungjawab membayar bil perubatan pekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai merasmikan majlis Anugerah Vendor Cemerlang Pharmaniaga Berhad di Sheraton Subang Hotel & Towers di sini hari.
Jelas Rosnah, pelaksanaan pembayaran pendahuluan dan surat jaminan oleh majikan ke atas pekerja asing yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sudah dimulakan baru-baru ini.
"Namun, pengumuman rasmi mengenai pelaksanaannya akan dibuat tidak lama lagi. Selain surat jaminan, majikan juga perlu mengisi borang apabila pekerja asing mereka mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
"Ini bagi membolehkan majikan dikesan untuk bertanggungjawab ke atas bil hospital pekerja mereka," tambah beliau.
Rosnah menjelaskan, dari segi kemanusiaan kerajaan masih perlu beri rawatan kepada pekerja asing.
"Tetapi kita ada masalah dengan pendatang yang tinggalkan hutang di hospital kerajaan dan langkah mengatasinya perlu diambil memandangkan ia merugikan kerajaan," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada warga asing yang paling ramai berhutang dengan hospital kerajaan di Malaysia ialah warga Indonesia.
Tambah Rosnah, Malaysia sering diberi gambaran tidak baik oleh media Indonesia namun tiada pihak mengetahui masalah ditanggung kerajaan.
Sementara itu, mengulas mengenai langkah untuk mengesan warga tempatan yang lari dari membayar bil hospital kerajaan, beliau berkata, beberapa pendekatan sudah digariskan.
"Semuanya masih di peringkat perbincangan dan pengumuman akan dibuat selepas sebarang keputusan diambil," tambah beliau.
KUALA LUMPUR 29 Jun – Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berjumpa dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai cadangannya mahu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden Pas itu berkata, Mursyidul Am Pas itu tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai perkara tersebut dan tiada sebarang perbincangan dilakukan antara mereka berhubung debat berkenaan.
“Saya belum dapat apa-apa maklumat daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz, cuma tahu daripada akhbar sahaja.
“Saya tidak dapat nak komen kerana tak dapat kenyataan penuh daripada Tok Guru. Saya akan jumpa beliau mengenai maksud itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz kelmarin yang mencabar Najib berdebat secara terbuka berhubung kemelut yang melanda Pas dan UMNO.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, cadangan Nik Abdul Aziz itu sesuatu yang baik.
“Saya rasa kita tidak perlu takut dengan debat ataupun muzakarah dan seumpamanya, tetapi saya rasa dalam konteks Tok Guru ini, pelawaan itu adalah satu perdebatan peribadi antara beliau dan Najib.
“Perdebatan ini elok untuk diadakan dan perlu ada stesen televisyen yang menyiarkan siaran langsung perdebatan itu. Ini akan menunjukkan satu proses demokrasi di kalangan pemimpin negara kita,” katanya.
Salahuddin berkata, beliau difahamkan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan akan menghantar surat pelawaan berdebat hari ini kepada Najib.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, penolakan daripada ahli-ahli UMNO terhadap cadangan debat itu agak mengecewakan.
“Sudah tentu kita kecewa. Ini menunjukkan ketidaksediaan UMNO bersemuka dengan kita dalam suasana yang boleh dilihat oleh rakyat.
“Ini adalah satu peluang untuk kedua-dua parti memberikan pandangan masing-masing,” katanya.
|
|
LOS ANGELES 28 Jun - Ahli keluarga Michael Jackson mengarahkan autopsi kali kedua dijalankan ke atas Raja Pop itu semalam, ekoran 'persoalan-persoalan yang tidak terjawab' berhubung kematian penyanyi terkenal itu.
Anggota keluarga Jackson telah berkumpul di kediaman di Los Angeles sejak kematian mengejut penyanyi itu Khamis lalu.
Pejabat koroner Los Angeles berkata, kelmarin, autopsi awal ke atas Jackson tidak membawa sebarang keputusan dan punca kematian tidak akan diketahui sehingga ujian toksikologi menyeluruh selesai dalam enam ke lapan minggu.
Mayat Jackson telah dikembalikan kepada ahli keluarganya kelmarin dan kekal disimpan di lokasi yang dirahsiakan sebelum autopsi kali kedua dijalankan, lapor media rasmi dan tempatan.
Lewat semalam, akhbar Los Angeles Times melaporkan, autopsi telah selesai dijalankan sepenuhnya tetapi tiada sebarang maklumat yang ditemui.
"Kami tidak suka dengan apa yang berlaku sekarang," kata bapa kepada Raja Pop itu, Joe Jackson kepada majalah People.
Joe Jakson kemudiannya mengeluarkan kenyataan kepada para peminat menjelaskan kematian Jackson adalah 'detik paling hitam dalam hidup keluarganya'.
Seorang veteran politik Amerika Syarikat dan aktivis Reverend Jesse Jackson yang tidak mempunyai kaitan dengan keluarga Jackson memberitahu televisyen ABC, Good Morning America bahawa dia telah meluangkan masa sepanjang hari Jumaat untuk memberi kaunseling kepada ahli keluarga Raja Pop itu.
Dia turut mendedahkan bahawa anggota keluarga Jackson berang dengan pemanjangan isu punca kematian Raja Pop itu dan memberi tumpuan kepada doktor Jackson yang dikenali sebagai Conrad Murray.
Doktor tersebut dilaporkan memberi suntikan Demerol, sejenis ubat mengandungi narkotik kira-kira setengah jam sebelum jantungnya gagal berfungsi.BAITULMAQDIS 19 Jun - Semakin ramai rakyat Israel yang melihat Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sebagai pro-Palestin ketika Washington mula meningkatkan tekanan ke atas Tel Aviv supaya menghentikan kegiatan pembesaran penempatan Yahudi.
Menurut tinjauan yang disiarkan dalam akhbar Jerusalem Post hari ini, hanya enam peratus rakyat Israel yang melihat Presiden baru AS itu sebagai pro-Israel, manakala 50 peratus percaya beliau pro-Palestin dan 36 peratus pula menganggap beliau berkecuali.
Tinjauan tersebut memperlihatkan perubahan yang sangat besar berbanding pentadbiran Presiden George W. Bush sebelum ini yang dilihat oleh 88 peratus rakyat Israel sebagai 'pro-Israel'.
Tinjauan serupa yang dijalankan pada bulan lepas sebelum pertemuan sulung Obama dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendapati 31 peratus rakyat Israel menganggap Obama sebagai pro-Israel dan hanya 14 peratus melihat beliau sebagai pro-Palestin.
Dalam tempoh sebulan antara dua tinjauan itu, Obama menyampaikan satu ucapan utama di Kaherah dan dalam ucapan itu menggesa kerajaan Netanyahu menghentikan pembesaran kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan menerima prinsip dua negara bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
KUALA LUMPUR 24 Jun - Hendak ke mana-mana pun senang. Menunggu pun kira-kira 10 minit sahaja.
Itulah gambaran terhadap perkhidmatan bas awam di Jalan Peel di sini apabila Rangkaian Pengangkutan Intergrasi Deras Sdn. Bhd (RapidKL) memulakan operasi di laluan Taman Maluri Cheras-Jalan Peel-Kota Raya kira-kira dua tahun lalu.
Hari ini, situasinya berbeza sama sekali. Jika mahu ke bandar raya, mereka terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira setengah kilometer untuk ke perhentian bas terdekat.
Walaupun kelihatan dekat tetapi ia mendedahkan mereka dengan pelbagai risiko termasuk kemalangan jalan raya berikutan Jalan Cheras yang sentiasa sibuk.
"Kalau boleh kembalikan semula perkhidmatan bas 111 yang sebelum ini pernah melalui Jalan Peel,'' begitu kata Mohd. Noor Mohammed, 69, ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Noor adalah antara warga emas yang tinggal di Blok D, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel di sini yang terpaksa berhadapan dengan kesulitan gara-gara perkhidmatan bas RapidKL yang disediakan sebelum ini telah ditamatkan secara tiba-tiba sejak dua tahun lalu.
Tindakan tanpa notis itu benar-benar menyusahkan penduduk di situ kerana selama ini hampir 90 peratus penduduk di kawasan berkenaan bergantung kepada pengangkutan awam tersebut.
Penduduk mendakwa sudah beberapa kali memohon perkhidmatan bas dikembalikan di laluan berkenaan, namun sehingga kini belum ada sebarang perkembangan mengenainya.
Ketiadaan perkhidmatan bas di kawasan perumahan yang mempunyai kapasiti penduduk kira-kira 3,000 orang penduduk itu benar-benar menyulitkan.
Utusan Malaysia difahamkan, pada awal perkhidmatan bas di laluan tersebut dimulakan, kekerapannya adalah setiap 10 minit.
Bagaimanapun, pada saat-saat akhir perkhidmatannya dan kemungkinan bertujuan untuk menamatkan perkhidmatan di laluan itu, penduduk mendakwa jadual perjalanannya semakin tidak teratur termasuk pernah sehingga sejam sekali.
Difahamkan, semenjak perkhidmatan bas bernombor 111 di laluan tersebut ditamatkan, penduduk terpaksa mengggunakan bas lain iaitu dari laluan Taman Maluri, Cheras-Jalan Chocrane atau Taman Maluri melalui jalan besar berhadapan Pejabat Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dakwa penduduk, selain terdedah risiko kemalangan, keadaan cuaca yang tidak menentu terutama hujan menimbulkan kesulitan terutama ketika mereka pergi atau pulang dari tempat kerja dan warga tua.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati perkhidmatan bas amat diperlukan di laluan berkenaan kerana pengguna bukan sahaja kalangan penduduk tetapi juga pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah berhampiran iaitu Sekolah Menengah Convent, Sekolah Pendidikan Khas, dan Sekolah Kebangsaan Yaacob Latif, masing-masing terletak di Jalan Peel.
Kata penduduk, perkhidmatan tersebut dihentikan dengan alasan tidak mendatangkan keuntungan kepada syarikat kerana kekurangan pelanggan di laluan berkenaan.
Bagaimanapun, alasan tersebut tidak dapat diterima para penduduk yang rata-rata berpendapat siasatan tidak dijalankan secara menyeluruh dan langsung tidak mengambil kira pandangan penduduk di kawasan itu.
Lebih menimbulkan tanda tanya ialah mengapa sebuah pondok menunggu bas yang baru dibina di laluan berkenaan sejak empat bulan lalu sedangkan perkhidmatan bas tiada.
Harapan penduduk ialah agar RapidKL dapat mengembalikan semula perkhidmatan bas di laluan tersebut demi keselesaan dan kemudahan pengguna.
Sebagai sebuah syarikat pengangkutan bas yang dipertanggungjawabkan menyediakan sistem pengangkutan bersepadu di Lembah Klang, seharusnya RapidKL perlu lebih peka dengan kehendak pengguna.
Usaha RapidKL menyusun semula laluan bas sedikit masa dahulu antara satu langkah yang baik bagi menyediakan rangkaian perkhidmatan lebih cekap, namun pada masa sama kesan baik buruk kepada pengguna perlu difikirkan.
Difahamkan, langkah penyusunan semula laluan bas yang dilakukan termasuklah di laluan Taman Maluri-Jalan Peel-Kota Raya itu banyak membawa masalah kepada pengguna daripada memberi kebaikan.
Dalam hal ini, sikap mementingkan keuntungan semata-mata terutama syarikat-syarikat besar tidak harus ada kerana tanggungjawab sosial kepada masyarakat perlu juga diutamakan.
Walaupun kadar penggunaan pengangkutan awam di ibu negara terlalu rendah, malah yang paling rendah di Asia, tetapi itu bukan alasan untuk tidak menyediakan perkhidmatan bas yang menyeluruh.
Masih ramai yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas, sistem transit aliran ringan (LRT), monorel mahupun komuter.
Meskipun ada pilihan untuk menaiki teksi, namun kadar tambang yang jauh lebih tinggi antara faktor utama mengapa bas masih menjadi pilihan pengguna.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik segala usaha yang digerakkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk melakukan penambah baikan di dalam sistem pendidikan negara daripada semasa ke semasa. Perubahan-perubahan di dalam sistem pendidikan negara merupakan suatu yang dialu-alukan untuk memenuhi tuntutan semasa demi memastikan sistem pendidikan negara mampu melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti mengikut peredaran masa.
Namun, PKPIM melahirkan kerisauan terhadap sebarang perubahan-perubahan yang diputuskan perlaksanaannya secara drastik. Adalah dikhuatiri, perubahan-perubahan secara drastik tanpa kajian menyeluruh dan terperinci akan memberikan kesan negatif terhadap para pelajar. Adalah dikhuatiri juga, ia akan menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat.
Sementara itu, PKPIM yang juga merupakan anggota gabungan Union of NGOs of Islamic World (UNIW), sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab menganjurkan simposium tersebut turut diberi kuota untuk menghantar tiga orang perwakilan.
Mereka yang mewakili PKPIM dalam simposium berkenaan termasuklah Naib Presiden Antarabangsa, Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden Kebangsaan Hasnul Hanif Harun, dan AJK Sekretariat Massa Hafidz Hakimi Haron.
14 Jun, Rembau - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di sini hari ini selesai menganjurkan Kursus Latihan Kepimpinan Kebangsaan 2009 bertempat di Sekolah Tinggi Islam As-Sofa. Program tersebut yang bermula pada 12 Jun lepas berlangsung selama tiga hari dua malam. Seramai 90 peserta yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin PKPIM di peringkat negeri dan universiti daripada seluruh negara telah menyertai program tersebut.
Para peserta program telah melalui latihan kemahiran secara intensif melalui siri ceramah, bengkel dan latihan dalam kumpulan. Ia bertujuan untuk memastikan supaya para peserta dapat menghadam dan menghayati mesej-mesej yang disampaikan di dalam program kali ini. Di antara penceramah-penceramah yang turut dijemput untuk mengisi program ini adalah, Tuan Haji Yusri Mohamad, Presiden ABIM, Dr. Amran Muhammad, Setiausaha Agung ABIM, Sdr. Syed Munawwar, Mantan Setiausaha PKPIM (sekarang personaliti TV 1) dan Sdr. Mohd. Raimi Rahim, mantan Presiden PKPIM (sekarang Penolong Setiausaha ABIM).
JAKARTA 21 Jun - Tokoh perniagaan yang juga Menteri Kebajikan Indonesia, Aburizal Bakrie yang dilihat sebagai penyokong kuat Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menghantar isyarat bertentangan semalam, dengan meminjamkan jet peribadinya kepada pencabar Susilo, Jusuf Kalla.
Jusuf semalam mengesahkan beliau telah meminjam jet Boeing 737-800 daripada Aburizal untuk berkempen di Papua, Bali dan Jawa Tengah.
"Benar, Ical telah meminjamkan pesawat ini kepada saya, secara percuma," kata Kalla kepada agensi berita rasmi, Antara di Lapangan Terbang Sentani, Papua. Ical ialah nama julukan bagi Aburizal.
Aburizal yang kini Menteri Penyelarasan bagi Kebajikan Rakyat dikenali sebagai seorang penyokong kuat Susilo.
Namun apabila ditanya, Jusuf mendakwa Aburizal sudah lama menyokong beliau.
Jusuf ialah Pengerusi Parti Golkar manakala Aburizal adalah seorang daripada pemimpin Golkar.
Sebelum itu, Aburizal bersama-sama Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Agung Laksono serta bekas Pengerusi Golkar, Akbar Tanjung dilaporkan telah mencadangkan supaya Kongres Parti Golkar diadakan lebih awal daripada yang dirancang, dengan tujuan untuk menjatuhkan Jusuf.
Dengan jet Aburizal itu, Jusuf dan rombongannya telah terbang terus dari Papua ke Bali untuk berkempen di pulau peranginan tersebut pagi ini.
Sementara itu di Jakarta, pasukan kempen Jusuf melancarkan sebuah buku baru mengenai calon Presiden mereka untuk memaparkan kelebihan beliau dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengundi.
Buku yang berjudul Jusuf Kalla, Presiden Sebenar itu mengandungi artikel daripada pelbagai tulisan media dan pandangan daripada rakan-rakan karib yang mengutarakan sebab-sebab rakyat patut memilih Jusuf dalam pilihan raya Presiden pada bulan depan.
Satu perbincangan panel turut dianjurkan serentak dengan pelancaran buku tersebut.
Antara anggotanya termasuk wartawan kanan, Rosihan Anwar, penganalisis politik, J. Kristiadi dan wartawan Kompas, Andi Suruji.
J. Kristiadi berkata, Jusuf wajar dipilih menjadi Presiden kerana beliau seorang yang tegas, cepat membuat keputusan dan memiliki semangat egalitarianisme dan kemanusian yang tinggi.
Beliau bagaimanapun memberi amaran, peluang untuk Jusuf dipilih masih tipis dan usaha besar-besaran diperlukan untuk meningkatkan populariti beliau, terutamanya di kalangan penduduk luar bandar.
IMELDA MARCOS, ISTERI BEKAS PRESIDEN FILIPINA FERDINANAD MARCOS YANG JUGA BEKAS WANITA PERTAMA FILIPINA.
MANILA 21 Jun - Imelda Marcos yang juga isteri bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mendakwa dirinya hampir miskin walaupun berdepan dengan dakwaan menyembunyikan berbilion dolar semasa pemerintahan suaminya dan memakai cincin permata 20 karat.
"Inilah saya, berusia 80 tahun, masih berusaha untuk berketerampilan (kepada media)," katanya kepada pemberita di kediamannya di sebuah pangsapuri mewah dua tingkat di Manila, memakai baju dan seluar merah gelap dengan selipar yang berwarna sepadan.
Imelda akan meraikan ulang tahun yang ke-80 pada 2 Julai ini, akan sentiasa diingati kerana koleksi permata dan 1,220 kasut yang ditinggalkan selepas melarikan diri dari Istana Presiden pada 1986 berikutan pemberontakan rakyat dalam 'revolusi kuasa rakyat' yang menjatuhkan rejim diktator Marcos dan memaksa mereka hidup dalam buangan di Hawaii.
Kata Imelda, cincin permata 22 karat yang dipakainya itu telah diberikan oleh Ferdinand 55 tahun lalu semasa majlis pertunangan mereka.
Ferdinand meninggal dunia pada 1989 dan Imelda dibenarkan pulang ke Filipina pada 1991.
Di sebalik sikap membazirnya di negara yang ramai bilangan orang miskin, dia masih mempunyai penyokong dan memenangi kerusi kongres pada 1995 dan bertanding merebut kerusi presiden pada 1992 tetapi tewas.
Kini dia mengisi masa lapangnya dengan mengusahakan koleksi barangan perhiasannya, menggabungkan aksesori dari pakaian lamanya dengan batu berharga yang baru.
''Saya menjadi wanita pertama hanya untuk selama 20 tahun. Segala perkara indah yang saya berikan kepada Filipina, apakah saya dihukum kerana melakukannya? Saya tidak tahu anda boleh mewarisi jenayah yang dilakukan oleh suami anda,'' katanya.
Suaminya dan kroni-kroni didakwa mengumpul harta secara haram bernilai AS$5 bilion (RM17.5 bilion) hingga AS$10 bilion (RM35.5 bilion) sepanjang 20 tahun berkuasa.
JOHOR BAHARU 21 Jun - Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum mempunyai maklumat yang mencukupi bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung isu kepimpinan yang melanda Parti Progresif Penduduk (PPP), kata Timbalan Pendaftarnya, Marzuki Zainudin.
Beliau mengakui ada pihak yang mendesak ROS untuk mempercepat siasatan bagi menamatkan isu tersebut.
''Kita mahu menjalankan siasatan secara terperinci dengan mendapatkan segala maklumat daripada mereka yang terlibat dan bersikap adil sebelum dapat membuat sebarang keputusan mengenainya,'' katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Pertubuhan anjuran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan yang dijalankan tidak semudah yang disangkakan sesetengah pihak kerana ia melibatkan ramai individu selain menyentuh kestabilan politik negara.
Pada 4 Jun lalu, ROS memaklumkan bahawa Datuk M. Kayveas masih Presiden PPP yang sah dan sedang menyiasat aduan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam PPP di samping meneliti maklumat daripada semua pihak terlibat.
KODIANG 21 Jun - Konsep 1Malaysia yang disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan menjadi kenyataan jika orang Melayu tidak bersatu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, konsep itu juga tidak akan berjaya jika golongan majoriti iaitu Melayu yang menghuni negara ini gagal mencapai kata sepakat dalam pelbagai perkara.
"Sebab itu, saya kesal apabila ada pihak dalam Pas seperti Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak cadangan kerajaan perpaduan meskipun perkara ini adalah sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada semua.
"Saya berani jamin apabila UMNO berunding dengan Pas mengenai kerajaan perpaduan ini, UMNO rela mengorbankan sesuatu demi masa depan kaum Melayu," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung perwakilan peladang di sini hari ini.
Menurut Mukhriz, beliau juga hairan mengapa banyak pihak terutama pemimpin dalam kalangan pembangkang yang membantah untuk mewujudkan kerajaan perpaduan tersebut.
"Kalau kita bercakap pasal bersatu dan perpaduan, sepatutnya tidak ada orang bantah kerana ia adalah sesuatu yang baik.
"Adakah pihak-pihak yang menentang ini takut apabila Melayu bersatu ataupun mereka tidak suka orang Melayu bersatu," katanya.
Mukhriz memberitahu, apabila orang Melayu bersatu, itu tidak bermakna mereka akan bersikap perkauman dan akan membentuk satu kerajaan yang diwakili 100 peratus oleh orang Melayu sahaja.
"Perkara ini tidak akan terjadi kerana kita dari dahulu lagi telah mengamalkan konsep berkongsi kuasa.
"Malahan perkara itu telah dibuktikan pada pilihan raya yang lalu oleh UMNO apabila menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen yang majoritinya dihuni oleh orang Melayu kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN)," jelasnya.
BALING 21 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan penentu sebenar terhadap usaha pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan Barisan Nasional (BN) kerana terdapat pemimpin ulama dalam Pas yang bersifat positif mengenainya demi kebaikan orang Melayu.
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof. Dr. Mohamed Fadzil Che Din berkata, idea kerajaan perpaduan itu perlu dilihat sebagai jalan terbaik dalam meningkatkan hubungan persaudaraan di kalangan orang Islam dan Melayu khususnya.
Katanya, slogan kedua-dua parti iaitu Hidup Bersama Islam oleh Pas dan UMNO pula Hidup Melayu boleh dihubungkan menjadi Hidup Islam Bersaudara dan Hidup Melayu Bermuafakat.
"Inilah titik tolak kepada pembentukan kerajaan perpaduan melalui slogan Hidup Islam Bersaudara dan Hidup Melayu Bermuafakat yang boleh dilaksanakan," katanya di sini semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang ditentang keras oleh Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.
Mohamed Fadzil berkata, usaha ke arah pembentukan kerajaan perpaduan diberatkan lagi dengan gangguan golongan profesional dalam parti itu yang tidak bersetuju cadangan berkenaan.
Beliau berpendapat, barangkali sikap jual mahal dan bangga diri sehingga membawa kepada takbur itu akan menjadi penghalang.
No comments:
Post a Comment