Monday, May 24, 2010

Yadim terbit semula majalah Dakwah


Jamil Khir Baharom (kanan) melancarkan majalah Dakwah sambil diperhatikan oleh Aziz Jamaluddin Md Tahir (tengah) dan Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin di Taman Tasik Putrajaya, baru-baru ini.


AYAT 1-4 daripada surah al-'Alaq di atas menekankan kepentingan membaca dalam kehidupan seharian.

Dalam era globalisasi dan maklumat di hujung jari kini, bukan sahaja aspek membaca itu penting tetapi lebih utama adalah jenis bahan yang dibaca.

Menyedari hakikat ini, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) menerbitkan semula majalah Dakwah yang dihentikan penerbitannya sejak 10 tahun lalu.

Keluaran sulung majalah terbitan Yadim itu sudah berada di pasaran awal Mei lalu. Majalah itu diterbitkan pada tahun 1977 sebelum diberhentikan sementara pada tahun 2000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom yakin, penerbitan semula itu juga mampu mempromosi Yadim kepada masyarakat negara ini.

Katanya, kajian juga mendapati permintaan kepada majalah bercorak keagamaan dan kerohanian kini semakin meningkat berbanding 10 tahun lalu.

"Sehubungan itu, saya merasakan kemunculan majalah Dakwah kena pada masanya di tengah-tengah permasalahan sosial yang membimbangkan kita.

"Majalah ini berupaya menjadi wadah penyampai maklumat, sekali gus gelanggang penyedia penyelesaian dalam kita merangka dan melaksana dasar berkaitan permasalahan ummah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran majalah Dakwah di Kelab Tasik Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Majalah yang diterbitkan setiap dua bulan sekali itu dijual pada harga RM6.90 di Semenanjung Malaysia dan RM8.90 di Sabah dan Sarawak.

Ketua Editornya ialah Mohd. Shauki Abd. Majid selain dibarisi tokoh ulama tempatan sebagai penulis kehormat.

Antaranya, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid dan penyandang Kerusi Sheikh Abdullah Fahim, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

Antara lain majalah Dakwah bersifat dakwah kontemporari melalui penulisan separa ilmiah, menggunakan pendekatan sederhana, mudah dan berunsur informatif.

Bahan-bahan penulisannya juga merangkumi isu tempatan dan antarabangsa yang berkaitan dengan masyarakat Islam.

Para penulisnya juga tidak tergolong kepada Melayu, penulis seperti saudara Muslim juga diberi peluang menyumbang pandangan mereka dalam majalah ini.

Friday, May 14, 2010

DAP bukan parti Demokratik.

SIBU 13 Mei - Parti Tindakan Demokratik (DAP) bukanlah parti yang demokratik seperti namanya kerana ia dikuasai oleh satu keluarga yang terdiri daripada bapa, anak dan menantu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, walaupun mereka menuduh Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tuduhan tetapi dalam parti itu sendiri bapa pernah menjadi ketua pembangkang, anak menjadi setiausaha agung dan menantu menjadi pemimpin kanan.

"Mana ada parti macam ini.., BN tidak seperti itu. DAP walaupun belum berkuasa tetapi anak-beranak sudah menguasai parti dan kalau tidak menyokong bapa, anak atau menantu itu, mereka akan kena buang.

"Ini parti berkuku besi, parti BN lebih demokratik daripada DAP," kata Najib sambil menambah parti itu dengan gabungan rakan-rakan pembangkang akan terus melakukan pembohongan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Najib berkata demikian semasa berucap ketika melawat Rumah Panjang Sebastian Onggoh di Jalan Teku, Pasai dekat sini hari ini.

Sejak penubuhan DAP pada 1966, struktur kepimpinan tertinggi DAP tidak berubah dengan diterajui Lim Kit Siang dan kemudian anaknya, Lim Guan Eng.

Ketika ini, Kit Siang merupakan Penasihat DAP dan Guan Eng pula Setiausaha Agung. Isteri Guan Eng iaitu Betty Chew Gek Cheng adalah Naib Pengerusi Wanita DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana di Melaka.

Pengerusi DAP ketika ini ialah Karpal Singh dan dua anaknya, Gobind Singh Deo ialah Ahli Jawatankuasa Pusat DAP yang juga Ahli Parlimen Puchong manakala Jagdeep Singh Deo pula Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang dan ADUN Datuk Keramat.

Perdana Menteri menjelaskan penduduk Sibu tidak harus mendengar dakyah DAP yang kini membawa pelbagai isu di rumah-rumah panjang di kawasan Parlimen ini untuk berkempen dalam pilihan raya.

"Dalam pilihan raya, kita harus memilih siapa yang boleh diletakkan harapan dan dapat mengubah nasib kita di masa depan, dan bukannya mendengar isu-isu yang tiada kaitan dengan kehidupan kita," kata Perdana Menteri.