Friday, November 20, 2009

Pelajar Melayu, India dapat 7A



MUHAMMAD Daniel Idrus (kanan) bersama S. Karthika Dewi merupakan dua murid dari sekolah aliran Cina yang memperoleh 7A dalam UPSR di Melaka.


MELAKA 19 Nov. - Dua murid Melayu dan India yang belajar di sekolah aliran Cina membuktikan walaupun belajar dalam persekitaran yang berbeza, mereka mampu meraih 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Muhammad Daniel Idrus dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bachang dan S. Karthika Dewi dari SJKC Notre Dame masing-masing memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan, Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Cina (Penulisan dan Pemahaman), Sains dan Peka (Penaksiran Kerja Amali Sains).

Ketika ditemui pada sidang akhbar Jabatan Pelajaran negeri di sini, Muhammad Daniel yang ditemani ibunya, Suhani Maarof, 35, berkata, kejayaannya itu adalah hasil sokongan ibu bapa dan komitmen para guru serta rakan sekelas yang tidak jemu memberi tunjuk ajar kepadanya.

Menurutnya, dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri sepanjang mengikuti pembelajaran di SJKC Bachang dan tidak berasa terpinggir walaupun hanya dia seorang sahaja murid Melayu di dalam kelas.

''Para guru dan murid lain di SJKC Bachang tidak pernah melayan saya seperti orang asing, layanan mereka sama sahaja. Buktinya saya berjaya meraih keputusan cemerlang UPSR hari ini dan ia kejayaan mereka juga," katanya.

Muhammad Daniel yang berminat menguasai bahasa asing itu berkata, dia berhasrat meneruskan pelajarannya di sekolah aliran Cina kerana berasakan banyak pengetahuan yang boleh diperolehinya.

Hasratnya itu dipersetujui oleh ibunya yang menyatakan kemungkinan akan menghantar Muhammad Daniel meneruskan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Tinggi Melaka, Bandar Hilir.

Selain persamaan belajar di sekolah aliran Cina dan meraih keputusan cemerlang UPSR, Muhammad Daniel berkongsi cita-cita yang sama dengan Karthika Dewi iaitu mereka ingin menjadi seorang saintis apabila dewasa kelak.

Menurut Karthika Dewi, peluang mengikuti pembelajaran di sekolah aliran Cina menjadikan dirinya mahir menguasai bahasa Mandarin selain bahasa Tamil dan bahasa Inggeris.

''Pada mulanya memang agak sukar kerana masih kurang memahami bahasa Mandarin, namun lama kelamaan berkat didikan para guru dan sokongan rakan-rakan sekelas, saya akhirnya berjaya menguasai bahasa ini," kata anak kedua dari empat beradik ini.

Katanya, kejayaan meraih 7A dalam UPSR hari ini hasil kerja kuat dan kesungguhan ibu bapanya dan para guru SJKC Notre Dame yang tidak berputus asa membimbingnya menjadi insan cemerlang.





Dari www.citrasutra.blogspot.com










Murid mangsa tragedi jambatan runtuh dapat 4A


K. Vasudevan dan isterinya, R. Kanakam bersama dua lagi anak perempuannya melihat keputusan peperiksaan UPSR mendiang anak mereka, V. DivyaShree yang mendapat 4A 3B di Changkat Golf, Gopeng, Perak, semalam.


IPOH 19 Nov. - Sukar untuk menggambarkan perasaan ibu bapa apabila melihat slip keputusan 4A 3B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sedangkan anak yang menduduki peperiksaan itu sudah tiada lagi.

Begitulah hakikat yang dihadapi keluarga mendiang V. Divyashree, 12, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng yang lemas dalam insiden jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, 26 Oktober lalu.

Bapanya, K. Vasudevan, 43, berkata, kejayaan tersebut kurang bermakna kerana anaknya sendiri tidak dapat meraikan hasil kerja keras untuk menjadi pelajar cemerlang dalam pelajaran.

"Sewaktu percubaan UPSR, Divyashree dapat 5A 2B. Walaupun pencapaian sebenar merosot tetapi saya tahu dia sangat gembira dengan keputusan ini.

"Sejak kecil dia memang budak yang pandai. Banyak subjek dia dapat markah 100 peratus malah bercita-cita untuk menjadi doktor pakar tulang apabila besar nanti," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Changkat Golf, Gopeng dekat sini hari ini.

Divyashree merupakan satu daripada tiga pelajar yang lemas dalam insiden jambatan gantung runtuh semasa mengikuti Kem 1Malaysia di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang.

Dua lagi yang menjadi mangsa arus deras Sungai Kampar itu ialah pelajar SJKT Mambang Di Awam iaitu M. Davadhasini, 11, dan N. Dina Deve,11.

Dalam keputusan UPSR lalu, Divyashree memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan), Matematik, Bahasa Tamil (Pemahaman) dan Bahasa Tamil (Penulisan) manakala B bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris dan Sains.

Sementara itu, ibu mendiang, R. Kanakam, 41, berkata, anak sulungnya itu memang menunjukkan minat mendalam dalam pelajaran sejak kecil malah suka memegang buku walaupun baru berumur setahun.

Katanya, selain minat membaca pelbagai suratkhabar, Divyashree juga sentiasa membawa buku nota dan pensil di dalam poket untuk mencatat pelbagai kegiatan seharian hingga diiktiraf sebagai pelajar contoh dan harapan SJKT Gopeng.

''Sebelum ini ibu saudaranya ada berjanji jika cemerlang dalam UPSR dia akan dibawa melancong ke India. Nampaknya hasrat itu tidak kesampaian.

''Sehari sebelum Kem 1Malaysia itu, Divyashree juga sudah membuat keputusan untuk belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama, Selangor. Tetapi itu pun tak boleh," katanya sambil menahan sebak.















Anak peniaga tomyam dapat 5A




PULAU PINANG 19 Nov. - Susah payah bapanya berniaga tomyam setiap malam hingga lewat pagi menjadi penguat semangat untuk Muhammad Haris Danial Mohd. Anwar (gambar) belajar bersungguh-sungguh.

Hari ini, dia berbangga kerana dapat menghadiahkan keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada bapa, Mohd. Anwar Aliar Kunjoo, 42, dan seluruh keluarga.

Muhammad Haris Danial, 12, dari Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang, di sini memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR yang diumumkan hari ini.

Ketua Pengawas SK Batu Lanchang yang juga menerima Anugerah Tokoh Pelajar sekolah itu merupakan antara 70 murid sekolah tersebut yang memperoleh keputusan 5A dalam UPSR 2009.










Bapa arak anak keliling kampung

ALOR SETAR 19 Nov. - Seorang bapa sanggup 'mengarak' anaknya dengan motosikal ke seluruh kampung kerana terlalu gembira dengan kejayaannya memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Bagi Abdul Latif Hamid, 46, petani dari Kampung Alor Gunung di sini, kejayaan anaknya, Ummu Aiman yang tidak disangka olehnya itu cukup membanggakannya.

Murid Sekolah Kebangsaan Gunung itu memperoleh gred A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

"Saya amat gembira dengan kejayaan anak saya ini dan semoga impiannya untuk menjadi seorang doktor akan tercapai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Abdul Latif, dia hanya mampu membawa anaknya mengelilingi kampung dengan motosikal sebagai cara meraikan kejayaannya kerana pendapatan sebagai petani tidak seberapa.

"Saya amat bangga dengan Ummu Aiman dan mahu dia terus berjaya dalam pelajarannya," katanya.

Ditanya rahsia kejayaannya, Ummu Aiman memberitahu dia sering mengamalkan doa-doa penerang hati yang diajar oleh guru-guru di sekolah bagi memudahkannya mengingati ilmu yang diajar.

"Saya belajar sendiri dan tidak pernah lupa untuk berdoa kepada Tuhan agar memberikan saya kepintaran dan kekuatan semangat untuk menempuh peperiksaan.

"Sepanjang menjawab soalan UPSR dahulu, saya sentiasa tenang dan yakin boleh berjaya,'' jelasnya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu turut memberitahu petua orang tua-tua yang diamalkannya untuk berjaya.

Katanya, dia tidak memakan makanan yang boleh membuatkan minda menjadi lemah seperti benda masam, minuman bergas serta organ dalaman haiwan.

"Ingatan yang kuat dan cerdas amat penting kepada seorang pelajar dan saya sanggup tidak makan makanan begitu demi menjaga ingatan," katanya.

Wednesday, November 18, 2009

White House: Israeli housing plans dismaying

White House: Israeli housing plans dismaying

Tuesday, November 17, 2009

Wednesday, October 28, 2009

Apa itu Nazi?

Jerman Nazi


Jerman Nazi (Nazi Jerman) atau Reich Ketiga khusus merujuk tahun-tahun 1938 hingga 1945, sewaktu Adolf Hitler memimpin negara Jerman sebagai Diktator yang menyebarkan ideologi nasionalisme-sosialisme "melulu"(Nationalsozialismus). Dalam zaman tersebut, Jerman telah bangkit daripada negara yang tewas dalam perang (Perang Dunia Pertama) sehingga menjadi suatu kuasa ketenteraan yang digeruni. Pada masa yang sama, bangkit juga politik perkauman atau rasis yang mengagungkan bangsa Aryan dan menghina ras lain, terutamanya orang-orang Yahudi yang telah "dikumpulkan dan dibunuh secara terancang di beberapa buah kem tahanan". Jerman Nazi akhirnya tenggelam apabila ditewaskan oleh tentera Berikat dan Soviet. Kerana itu, Jerman telah terbahagi kepada dua blok: Republik Konfederasi Jerman di barat (yang berfahaman kapitalis) dan Republik Demokratik Jerman di sebelah timur (yang berfahaman komunis-sosialis )





frames

Bendera Nazi














File:Einsatzgruppe.jpg



Pembunuhan beramai - ramai orang - orang Yahudi pada zaman pemerintahan dan penaklukan Nazi Jerman di Ukraine.



Sunday, October 25, 2009

Konsolidasi fiskal diteruskan

EKONOMI negara yang dipacu perbelanjaan sektor awam dan penggunaan swasta tinggi tahun ini dijangka pulih tahun depan.


Ini berikutan teras dasar fiskal yang menumpukan terhadap usaha memperkukuh dan mengekalkan proses pemulihan dengan merancakkan lagi permintaan domestik.


Aktiviti ekonomi juga dijangka lebih rancak dengan peningkatan penggunaan dan pelaburan swasta serta memastikan semua projek serta program sektor awam di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) siap mengikut jadual.


Walaupun dengan kutipan hasil yang rendah namun dengan perbelanjaan berhemat mampu memperbaiki kedudukan defisit kerajaan kepada 5.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Pembiayaan defisit diperoleh daripada sebahagian besar sumber dalam negara yang tidak mengakibatkan kesan inflasi.

Berikutan penguncupan ekonomi tahun ini dan pemulihan sederhana pada tahun 2010, Kerajaan Persekutuan menjangkakan pengurangan hasil sebanyak 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion.

Tahun depan, jumlah itu berkurangan 11.3 peratus kepada RM189.5 bilion berbanding tahun sebelumnya dengan mengambil kira sumber pengurusan kewangan berhemat bagi memastikan kemapanan dasar fiskal dan kestabilan makroekonomi.

Perbelanjaan mengurus diramal turun dengan ketara 13.7 peratus kepada RM138.3 bilion disebabkan perbelanjaan rendah dalam komponen utama seperti subsidi, bekalan, perkhidmatan dan geran badan berkanun.

Pada masa sama, kerajaan tetap mengutamakan kebajikan rakyat seperti peruntukan subsidi bahan api lebih besar (RM10 bilion) meningkat 10.7 peratus dipengaruhi kenaikan harga minyak mentah.


Untuk perbelanjaan pembangunan, RM51.2 bilion diperuntukkan bagi tahun 2010, 4.4 peratus lebih rendah berbanding 2009 berikutan projek di bawah RMK-9 telah dilaksanakan mengikut jadual.

Bagaimanapun, pengurangan tersebut tidak melembapkan aktiviti ekonomi disebabkan pemulihan ekonomi global yang disokong oleh langkah fiskal dan kewangan berkesan bagi mengembalikan momentum pertumbuhan berterusan.


Peruntukan sektor perkhidmatan ekonomi pula disalurkan ke arah pengangkutan dan pembangunan infrastruktur (RM6.7 bilion), membina keupayaan perdagangan dan perindustrian (RM4.4 bilion), menggalakkan produktiviti pertanian dan pembangunan luar bandar (RM3.1 bilion).


Peruntukan RM3.7 bilion diberikan kepada kemudahan awam (pembekalan air, elektrik luar bandar dan khidmat pembentungan) dan RM3.5 bilion untuk mempercepatkan pembangunan lima wilayah koridor.


Berikutan pemulihan ekonomi yang semakin jelas dan teguh, konsolidasi fiskal akan tetap diteruskan mengikut perancangan.

Wednesday, October 21, 2009

ADUN Ngemah nak keluar PKR?


KUCHING 20 Okt. - Belum sampai setahun penyertaannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Gabriel Adit Demong membayangkan hasratnya untuk keluar parti setelah menyatakan beliau tidak lagi menyokong parti berkenaan.

Adit yang juga Ahli Majlis Kepimpinan PKR bagaimanapun berkata, dia hanya akan membuat pengumuman mengenai keputusannya tidak lama lagi.

''Tidak perlu untuk alasan lah," katanya ketika mengulas mengenai keputusannya itu di sini semalam.

Terdapat spekulasi yang mengatakan bahawa Adit membuat tindakan tersebut setelah kecewa dengan keputusan pucuk kepimpinan PKR yang melantik Baru Bian sebagai Ketua Perhubungan PKR Sarawak yang baru menggantikan Mustaffa Kamil Ayub.

''Saya tidak lagi menyokong PKR, jadi apa saya nak peduli. Apa yang saya dapat katakan kepada Baru ialah semoga beliau berjaya.

''Memberi (jawatan itu) kepada Baru merupakan satu lagi kesilapan (PKR), namun saya berharap saya salah anggap," ujarnya ketika ditanya mengenai pelantikan Baru.

Adit menyertai PKR tahun lalu setelah genap dua tahun menjadi wakil rakyat bebas bagi kawasannya.

Sementara itu, Adit ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini memberitahu, beliau akan menubuhkan sebuah parti baru tidak lama lagi.

Katanya, dia akan membuat pengumuman mengenai penubuhan parti itu setelah penubuhan itu disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Monday, September 7, 2009

Aura Ramadan suburkan sedekah



bubur lambuk Kampung Baru, Kuala Lumpur diadakan hasil sedekah orang ramai.


MENJELANG Ramadan, maka antara perkara yang sering diingati oleh umat Islam ialah amalan sedekah dan zakat. Sebenarnya, zakat juga adalah sedekah; namun ia adalah sedekah yang wajib. Misalnya Allah SWT menyatakan: "Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah" (at-Taubah: 103), maka makna 'sedekah' di sini adalah zakat. Begitu juga apabila Allah SWT menyatakan: "Sesungguhnya sedekah itu adalah untuk fakir, miskin, amil, muallaf…" (at-Taubah: 60), maka sekali lagi, 'sedekah' yang dimaksudkan oleh Allah SWT di sini ialah zakat.

Oleh itu, kita dapat membahagikan amalan sedekah di bulan Ramadan ini kepada dua, iaitu sedekah sunat dan sedekah wajib (zakat). Sedekah sunat memang sudah menjadi sesuatu yang sebati, khususnya di dalam jati diri masyarakat Melayu-Islam.

Misalnya, jika di kampung-kampung, amalan memberi sedekah walaupun sepiring kuih atau pengat pisang, memang diamalkan sejak turun-temurun. Natijahnya, apabila jiran saling bertukar juadah, maka makin suburlah ukhuwah. Inilah hebatnya aura sedekah.

Namun begitu, arus pemodenan semakin menghakis budaya atau amalan saling bertukar juadah yang berupa sedekah ini. Masyarakat Melayu-Islam yang tinggal di bandar besar, makin sibuk untuk menghulurkan walau sepiring cekodok pisang kepada jiran di sebelah pagar atau jiran yang berkongsi dinding dengannya.

Sedangkan, mereka tinggal di rumah teres atau apartmen, yang masing-masing berkongsi dinding, lantai bahkan bumbung. Maka, inilah cabaran kehidupan moden dalam mengekalkan tradisi bersedekah khususnya di bulan Ramadan.

Di samping itu, kita juga seharusnya merebut pahala yang lebih besar dan utama sepanjang Ramadan ini dengan memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa.

Ironinya, senario ini lebih subur di kawasan bandar dan ia agak asing jika di kampung. Agaknya, inilah pula kelebihan di bandar besar. Pengalaman penulis sendiri saat belajar sehingga berkerja di Kuala Lumpur, sempat beberapa kali berbuka puasa secara percuma di beberapa buah masjid beramai-ramai dan ia amat meriah.

Masjid-masjid ini pasti telah mendapat tajaan daripada individu mahu pun syarikat umat Islam yang pemurah, sehingga mereka mampu menyediakan makanan kepada umat Islam dalam jumlah yang besar setiap hari.

Dalam menegaskan hal keutamaan memberi makan orang berbuka puasa ini, Nabi Muhammad SAW sendiri menyatakan: "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka dia akan beroleh pahala seperti mana pahala orang yang berpuasa itu tanpa pahala orang itu dikurangi sedikit pun," (riwayat Ahmad, an-Nasai, Termizi, Ibn Majah dan Darimi dan disahihkan oleh al-Albani)

Namun, bagaimana pula dengan amalan moreh, iaitu memberi makan kepada umat Islam di masjid dan surau setelah mereka mendirikan solat Tarawih? Sebenarnya, amalan ini bukanlah sesuatu yang dipraktikkan pada zaman Rasulullah SAW.

Tradisi orang Melayu

Tiada satu pun hadis yang menunjukkan nabi dan para sahabatnya makan beramai-ramai atau nabi menganjurkan agar diberi makan kepada orang yang sudah bertarawih. Bahkan, amalan ini lebih merupakan tradisi orang Melayu di negara ini sahaja. Ia tidaklah dijadikan amalan lazim walau di negara-negara Arab sendiri.

Namun, kita mungkin boleh mengambil sudut pandangan yang positif dalam hal moreh ini. Sesungguhnya, majlis moreh ini adalah tradisi yang sekian lama telah diamalkan di kampung-kampung.

Bahkan jika di kampung, masjid atau surau telah menyediakan satu jadual khas yang tertera seluruh nama ketua rumah di kampung berkenaan dan juga tarikh mereka perlu membawa juadah ke masjid atau surau sebagai moreh. Maka, dari satu sudut mungkin tradisi ini sesuai diamalkan di kampung, justeru amalan menjamu orang berbuka puasa adalah amat jarang dilakukan.

Dari satu aspek lain, dengan adanya juadah yang dinamakan moreh ini, ia menjadi 'umpan' bagi menarik anak-anak remaja dan orang-orang muda agar lekat di masjid sehinggalah tamat 23 rakaat solat tarawih dan witir.

Bahkan, amalan moreh ini juga mampu mendekatkan ukhuwah di kalangan penduduk kampung. Namun, janganlah sampai jamuan moreh ini membazir pula, maklumlah masing-masing sudah kekenyangan waktu berbuka puasa.

Di samping itu, moreh juga sepatutnya tidak membebankan umat Islam, memandangkan ia bukanlah suatu sunnah yang menjadi keutamaan di bulan puasa.

Timbul persoalan, kenapakah umat Islam menjadi begitu pemurah pada bulan Ramadan? Ada orang yang kedekutnya bukan main pada bulan-bulan lain, namun menjadi pemurah pula di bulan Ramadan.

Malah ada yang begitu mudah melakukan amal kebaikan termasuklah bersedekah. Setiap hari tidak lokek menghantar pisang ke masjid atau menaja bubur lambuk.

Bagi menjawab soalan ini, bukankah Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Apabila tiba bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan akan dirantai semuanya." (riwayat Bukhari, Muslim, Nasai, Ahmad dan Baihaqi)

Hadis ini hakikatnya adalah suatu simbolik, bahawa sepanjang Ramadan manusia secara alaminya akan terdorong menjadi baik. Sebab itulah kita mampu melihat ada orang yang malas solat sebelum Ramadan, namun berubah menjadi rajin bahkan tidak meninggalkan solat tarawih.

Ada muslimah yang tidak menjaga aurat pun akan mengenakan busana yang lebih sopan sepanjang Ramadan. Bahkan ada kaki rokok akan menjadikan Ramadan sebagai detik awal bagi mereka menghentikan tabiat merokok. Kerana apa? Ya, kerana aura Ramadan yang mulia dan begitu kuat telah mendorong kita agar menjadi lebih lunak mentaati Allah SWT, termasuklah dalam bab bersedekah ini.

Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Sebaik-baik sedekah adalah pada bulan Ramadan" (riwayat Termizi)

Kehebatan sedekah Ramadan

Kemudian, mari kita telusuri lagi kehebatan amalan bersedekah di bulan Ramadan ini. Di dalam kitab Mustika Hadith, ada dicatatkan sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Sesiapa mendekatkan dirinya (kepada Allah pada bulan Ramadan) dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain." (riwayat Ibn Khuzaimah)

Hakikatnya, hadis ini adalah suatu motivasi paling hebat yang mampu mendorong kita untuk meningkatkan amalan bersedekah sepanjang Ramadan. Bayangkan, jika kita memberikan derma ke tabung masjid sebanyak RM1,000, maka ia akan diberikan pahala seolah-olah kita sudah berzakat RM1,000.

Tetapi, jika kita benar-benar menunaikan zakat RM1,000, maka di sisi Allah SWT kita seolah-olah sudah menunaikan zakat sebanyak RM70,000. Amat besar ganjarannya di sisi Allah dan sudah pasti kita tidak patut melepaskan peluang keemasan ini.

Sehubungan dengan itu, maka tepatlah Ramadan ini menjadi sebuah sekolah tarbiah rohani yang terbaik buat kita, yang disediakan oleh Allah SWT.

Ini kerana, pada bulan inilah kita benar-benar menghayati pelbagai amalan sunat khususnya dalam bab meraikan sedekah dan zakat.

Mudah-mudahan, setelah 30 hari dilentur nafsu kita dan 30 malam dicanai rohani kita melalui qiyamullail, maka kita akan benar-benar menjadi hamba Allah yang bertakwa.

Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Maka sesiapa yang berpuasa (di siang hari) dan malamnya mendirikan qiam dengan penuh keimanan dan kebersihan hati (ihtisabaan), maka akan dihapuskan dosa mereka seperti mana pada hari mereka diperanakkan." (riwayat Ahmad dan an-Nasai). Wallahua'lam.


















Sumbangan Tun Mustapha kepada Islam di Sabah


DATU MUSTAPHA datu Harun


APABILA bercerita tentang Masjid Bandaraya atau lebih dikenali sebagai masjid SDA, nama Tun Datu Mustapha Datu Harun pasti akan disebut. Namun tidak ramai yang tahu lebih lanjut latar belakang beliau dan apakah sumbangan besarnya kepada perkembangan Islam di negeri ini.

Tun Datu Mustapha yang mempunyai sembilan adik-beradik dilahirkan pada 31 Julai 1918 di Kampung Limau-Limauan, Kudat, Sabah.

Beliau yang digelar Bapa Kemerdekaan Sabah dan Bapa Pembangunan Sabah merupakan Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama dan Ketua Menteri Sabah ketiga.

Sumbangan beliau kepada negeri ini amat besar, malah tidak dapat dinafikan lagi tiada individu tertentu yang boleh dikaitkan dengan kemerdekaan Sabah melainkan Tun Mustapha.

Perjalanan ke arah kemerdekaan bermula apabila Tun Mustapha yang mewakili Sabah menghantar memorandum cadangan kepada Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan British untuk mengenalpasti keinginan sebenar rakyat jajahan British di Borneo menyertai Malaysia.

Impian mencapai kemerdekaan ini menjadi kenyataan apabila proklamasi Akta Malaysia yang dibuat pada 16 September 1963 dibaca di Padang Bandaran Kota Kinabalu.

Tun Mustapha turut dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri dari 16 September 1963 hingga 15 September 1965, menandakan permulaan era pembangunan Sabah.

Dalam sinar perkembangan Islam di negeri ini jasa beliau yang paling ketara adalah usaha menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi, selain Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Abdullah Hussin, keputusan masyarakat Islam Sabah yang diketuai Tun Mustapha untuk menyertai Persekutuan Malaysia dipengaruhi oleh kesedaran tentang nasib dan masa depan umat Islam di negeri ini.

Dengan penyertaan ke dalam Malaysia, nasib umat Islam di negeri ini akan mendapat perhatian daripada saudara-saudara Islam di negeri-negeri lain di Malaysia.

Selain itu katanya, selepas penubuhan Malaysia, Mustapha adalah individu yang berusaha keras menubuhkan USIA. Ia menggabungkan persatuan-persatuan Islam yang wujud di Borneo Utara menjadi sebuah persatuan yang besar dan kuat.

Langkah pertama Mustapha ke arah merealisasikan penubuhan USIA ialah mengundang tiga persatuan Islam utama iaitu Persatuan Islam Tawau, Persatuan Islam Putatan dan Persatuan Islam Sabah menghadiri Kongres Masyarakat Islam pada 14 Ogos 1969 di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

Jelasnya, kongres tersebut kemudiannya berjaya mewujudkan United Sabah Islamic Association (USIA) yang kemudiannya didaftarkan pada 10 Oktober 1969.

Abdullah memberitahu, sejurus selepas penubuhan USIA, Mustapha yang telah dilantik sebagai Yang Dipertua USIA telah menjalankan pelbagai program dakwah Islam di seluruh negeri.

"Keberkesanan dakwah USIA di bawah kepimpinan Mustapha telah berjaya menarik lebih 70,000 orang penduduk Sabah memeluk Islam.

"Sekali gus membawa kepada pengiktirafan Islam sebagai agama rasmi di Sabah, tanpa menghalang kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing," kata Abdullah.

Beliau berkata, pembelian bangunan gereja SDA di Kota Kinabalu merupakan satu lagu usaha berani Mustapha dalam memartabatkan Islam di negeri ini.

Tambahnya, sejak diambil alih USIA, bangunan bekas gereja SDA itu kini menjadi pusat pelbagai aktiviti Islam, khususnya bagi kemudahan warga kota yang beragama Islam untuk menunaikan solat.